Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengumumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM1.9 bilion kepada Prasarana Malaysia Bhd untuk membeli 1,660 bas diesel dan elektrik baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, sebanyak 310 bas baharu dari unit enjin diesel yang dibeli akan menjadi kumpulan terakhir menggunakan enjin jenis tersebut manakala 1,350 unit lagi adalah bas janaan kuasa elektrik, laporan Bernama
“310 bas berenjin diesel berkenaan akan dihantar mulai Jun tahun ini manakala penghantaran 250 bas elektrik akan dimulakan menjelang akhir tahun ini. Sebanyak 1,000 lagi iaitu bas elektrik akan ditambah mengikut fasa ke dalam sistem dan ini akan menelan kos sejumlah RM1.9 bilion,” katanya.
Pada Januari tahun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke meminta Prasarana untuk untuk membeli bas elektrik sebaik sahaja kumpulan terakhir bas berkuasa diesel yang ditempah sebelum ini dihantar menjelang Mac 2025. Loke turut berkata, ia merupakan usaha meningkatkan penggunaan kenderaan hijau, selaras dengan inisiatif Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Prasarana bakal memperoleh sejumlah 150 bas elektrik bagi menyokong projek LRT3, bersama-sama dengan pembinaan tiga depoh bas, dengan kos RM600 juta. Sebelum ini Rapid KL mensasarkan untuk mempunyai 30% bas elektrik bagi barisan basnya menjelang tahun 2030.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.