Beberapa hari lepas ramai netizen khususnya yang berada atau bakal pulang ke Kelantan pada Hari Raya Aidilfitri ini mengeluh kerana premis perniagaan di sana diminta tutup pada 1 Syawal oleh kerajaan pentadbiran negeri. Ramai menyangkakan stesen minyak akan turut terbabit dengan penutupan operasi pada 1 Syawal ini.
Susulan isu ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa hanya empat kategori premis diminta tidak beroperasi pada hari pertama Aidilfitri di Kelantan dan bukannya semua premis. Empat premis berkenaan adalah pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan restoran makanan segera. Manakala premis lain yang di luar empat kategori berkenaan boleh beroperasi seperti biasa termasuk stesen minyak.
Turut memberi maklumbalas mengenai isu ini ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail yang mengesahkan bahawa sebanyak 248 stesen minyak di seluruh Kelantan beroperasi seperti biasa pada Aidilfitri nanti, laporan Harian Metro.
“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan bekalan minyak pada hari raya nanti. Setakat ini semua stesen minyak beroperasi seperti biasa dan hanya beberapa stesen minyak memohon untuk membuka sedikit lewat.
Pada masa sama, ada beberapa premis yang memohon untuk melanjutkan tempoh perniagaan dan permohonan yang diterima itu kami luluskan. Bagi mereka yang menutup, beroperasi lebih masa atau lewat tanpa memaklumkan kepada pihak KPDN, ia menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Tambah beliau, jumlah stesen minyak di seluruh Kelantan adalah 248 stesen dan daripada jumlah itu, 48 stesen minyak berada di kawasan sempadan.
Jadi..ore Klate jange rusing deh..stesen minyok tetap beroperasi mace biaso hari rayo ni…
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.