Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata pusingan U di Plaza Tol Puchong Selatan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) perlu terus dibuka untuk pengguna lebuhraya berkenaan yang dalam perjalanan dari Cyberjaya menuju ke Seri Kembangan, laporan The Star. Beliau menambah, surat cadangan itu akan dihantar kepada pemegang konsesi LDP bagi membincangkan perkara tersebut
Menurut Amirul Azizan, Litrak diminta agar tidak menutup pusingan U tersebut bagi mengelakkan kesesakan teruk. Penutupan pusingan U juga akan menyebabkan kos lebih mahal bagi pengguna lebuhraya yang menuju ke Taman Equine dari Cyberjaya kerana mereka perlu membayar tol sebanyak dua kali jika mereka terlepas untuk membelok ke Jalan Putra Permai.
Beliau turut mendedahkan mesyuarat telah diadakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersama Litrak, Ahli Parlimen Puchong Yeo Yee Bin dan ADUN Seri Serdang Abbas Salimi Che Adzmi bagi membincangkan pilihan yang ada berhubung perkara itu.
“Dalam pertemuan itu, wakil Litrak enggan mempertimbangkan permintaan kami untuk tidak menutup pusingan U tersebut. Wakil Litrak berkata penutupan itu boleh menyebabkan kemalangan, tetapi mengikut statistik kami, hanya terdapat tiga kemalangan yang berlaku dalam tempoh setahun,” kata Datuk Bandar Subang Jaya itu.
Pada 13 Mac lalu, Litrak mengumumkan pusingan U di Plaza Tol Puchong Selatan akan ditutup mulai 1 April 2025. Berikutan itu, Abbas Salimmi melalui media sosial memberitahu bahawa Litrak hanya memaklumkan kepada MBSJ dan tidak memaklumkan mengenai penutupan pusingan U berkenaan. “Ini sangat mengecewakan, kerana perbincangan sebelum ini telah diadakan untuk mencari jalan bagi mengurangkan kesesakan dan salah satu penyelesaian yang dicadangkan adalah memastikan pusingan U terbabit terus terbuka,” kata Abbas Salimi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.