Carro menyediakan sekurang-kurangnya 30 kenderaan kepada penduduk yang terkesan akibat kejadian kebocoran paip gas di Putra Height pada 1 April lalu. Platform jualan kenderaan dalam talian itu bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan untuk mengagihkan bantuan tersebut.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk membantu penduduk yang terkesan bagi mendapatkan semula kestabilan dan mobiliti dalam menjalankan urusan keseharian mereka, jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.
“Sangat mendukacitakan untuk melihat sejauh mana kesan dan kerosakan kejadian ini terhadap penduduk, terutamanya dalam tempoh perayaan ini. Kami mendoakan pemulihan segera kepada mereka yang cedera. Kami berharap kereta yang kami sediakan dapat membantu sebahagian penduduk untuk perlahan-lahan kembali kepada kehidupan seharian mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Carro Malaysia, Derrick Eng.
Carro menjelaskan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pejabat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Exco kerajaan negeri Selangor bagi pelaburan, perdagangan dan mobiliti, Ng Sze Han, serta pihak berkuasa tempatan untuk mengendalikan agihan bantuan. Ng sebelum ini memaklumkan permohonan untuk kereta sementara tersebut boleh dilakukan melalui pejabatnya dan tertakluk kepada siapa terlebih dahulu.
Menurut laporan, sebanyak 277 rumah dan 399 kenderaan terkesan akibat tragedi itu, dengan lebih 100 keluarga dipindahkan ke penempatan sementara. Kebanyakan kenderaan yang ditinggalkan rosak teruk disebabkan haba ekstrim, banyak antaranya akibat cair.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.