Model EV pertama Proton iaitu eMas 7 mendapat sambutan yang agak menggalakkan dalam pasaran, dan selepas ini Proton mengesahkan bakal menawarkan model EV dalam siri eMas dengan harga yang lebih mampu milik.
Perkara ini disebut oleh naib CEO Proton Roslan Abdullah dalam laporan Berita Harian yang menyatakan bahawa syarikatnya kini sedang menilai aspek harga, praktikaliti dan jarak gerak untuk satu cas bateri penuh bagi memastikan model baharu diperkenalkan tersebut akan memenuhi keperluan pengguna.
“Proton sedang membuat penelitian terhadap model yang bersesuaian. Buat masa ini, kami belum dapat mengumumkannya kerana masih pada peringkat kajian.
“Bagaimanapun, model EV kedua ini dijangka lebih sesuai untuk keluarga muda dan akan ditawarkan pada harga lebih mampu milik bagi menarik lebih ramai pengguna beralih kepada EV.
“Perkembangan mengenai EV kedua ini akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Berdasarkan petunjuk yang disiarkan oleh Proton pada Julai tahun lalu, hampir pasti model yang disebutkan tersebut akan diasaskan dari Geely Star Wish (juga dikenali sebagai Geometry Xingyuan di China), dan seperti yang disebut oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong pada Januari lalu, ia mungkin akan dikenali sebagai Proton eMas 3 atau eMas 5.
Tidak seperti eMas 7 yang masih dipasang di China dan di bawa sebagai model import sepenuhnya (CBU), model-model EV Proton selepas ini akan terus dihasilkan secara pemasangan tempatan menerusi kilang EV bernilai RM82 juta yang sedang di bina di Tanjong Malim sejak Februari lalu, dijadualkan akan beroperasi pada hujung tahun ini dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun.
“Sudah tentu kami mahu memastikan pelaburan dibuat memberikan pulangan terbaik, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya kapasiti kilang ini,” kata Roslan.
“Fasa kedua akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 45,000 unit setahun bergantung kepada permintaan di pasaran Malaysia dan luar negara.
“Kilang ini bukan sahaja akan menghasilkan Proton e.MAS 7 , tetapi juga model kenderaan tenaga baharu (NEV) lain yang akan diperkenalkan pada masa depan,” tambahnya lagi.
Ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 yang berlangsung bulan lalu, Geely ada membawa model berkenaan untuk dipratonton sebelum dilancarkan secara rasmi di sana, namun unit yang berkenaan masih dalam versi pemanduan sebelah kiri.
Geely Star Wish merupakan hatchback EV kompak yang menampilkan ukuran panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jadi sekiranya ia dibawa ke sini kelak, eMas 3 atau eMas 5 ini akan memberikan saingan kepada BYD Dolphin yang diukur 155 lebih panjang, jarak roda 50 mm lebih dekat 35 mm kurang lebar serta menampilkan tinggi yang sama.
Dari segi rekaan, Star Wish nampak lebih comel dengan badan yang direka lebih banyak elemen bulat yang disadur dari rekaan jenama smart, menampilkan lampu hadapan berbentuk-titisan air, pembuka pintu tenggelam, lampu belakang berbentuk oval dan juga warna badan dua-tona menampilkan bumbung berwarna hitam.
Di China, kereta ini datang dengan dua pilihan unit rangkaian kuasa, namun kedua-duanya hanya digerakkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang, menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) daripada CATL yang mengambil masa 21 minit untuk dicas 30-80%.
Varian asas untuk pasaran China menerima bateri dengan kapasiti 30.12 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 310 km (CLTC), digabungkan bersama motor 79 PS (58 kW) dan 130 Nm. Manakala varian paling tinggi pula diberikan bateri berkapsiti 40.16 kWh, dengan jarak gerak 410 km dan motor 116 PS (85 kW) 150 Nm.
Secara keseluruhannya sebanyak lima varian ditawarkan di China, dan antara kelengkapan yang diberi adalah termasuk rim 16 inci, lampu LED depan dan belakang, skrin sesentuh 14.6 inci untuk infotainmen (atau 10.1 inci), lampu suasana kabin, enam pembesar suara, sistem V2L dengan kapasiti 3.3 kW, tempat duduk larasan kuasa, panel meter digital 8.8 inci, pengecas tanpa wayar 50W dan pendingin hawa dengan corong udara di belakang serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Jadi dengan insentif pengecualian cukai bagi model-model EV CBU yang tidak akan diteruskan serta tiada lagi penetapan harga minima RM100k untuk sebuah EV CBU selepas 31 Disember 2025, mungkin eMas 3 atau eMas 5 ini akan menjadi model EV pertama Proton yang akan dijual dengan harga di bawah RM100k?
GALERI: Geely Star Wish di BIMS 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.