Bersempena dengan pembukaan studio rekaan baru di Royal Leamington Spa, United Kingdom, General Motors (GM) telah mendedahkan satu model konsep yang dikatakan sebagai “kajian rekaan lanjut” bagi Chevrolet Corvette. Menurut GM, model yang dihasilkan oleh pasukan pereka di UK ini adalah satu daripada beberapa lagi model konsep Corvette yang akan didedahkan pada tahun ini.
Daripada semua model konsep itu, ia akan membawa kepada satu kereta pameran yang juga akan ditunjukkan kepada orang ramai tahun ini dan menurut Autocar, ia berkemungkinan besar menjadi petunjuk kepada pengganti Corvette generasi kelapan yang ada sekarang.
Model di dalam gambar ini mendapat banyak inspirasi daripada kereta lumba dengan terdapat pembahagi di bahagian tengah cermin hadapannya, yang bertindak sebagai sebahagian daripada struktur bumbungnya. Cerminnya pula melengkung sehingga ke tepi dan pintu terbuka ke atas menggunakan damper elektronik.
Secara keseluruhannya, model konsep ini mencatat ukuran panjang 4,669 mm, lebar 2,178 mm wide dan tinggi 1,033 mm, manakala rim pula menggunakan unit 22 inci di hadapan dan 23 inci di belakang. Struktur badannya dibuat menggunakan proses Additive Manufacturing (AM) atau juga dikenali sebagai cetakan 3D.
Menurut GM, di sebalik badannya terdapat tetapan suspensi jenis pushrod seperti kereta lumba, dan struktur bahagian bawah kenderaan disepadukan dengan teknologi bateri EV. Sistem pengurusan angin dan aerodinamik kereta ini dipanggil sebagai Aero Duality dan ia memberi fokus bukan sahaja kepada kecekapan pemanduan atas jalan biasa, tetapi juga dalam litar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.