Proton telah umumkan bahawa eMas 7 kekal menjadi EV paling laris di Malaysia sepanjang bulan Mac dengan mencatatkan jualan sebanyak 797 unit. Dengan serahan terkumpul sebanyak 1,853 unit bagi tempoh suku pertama tahun ini, kadar perkongsian pasaran SUV berkenaan diramalkan sekitar 30%.
“Kami ingin berterima kasih kepada pelanggan diatas sokongan dan keyakinan mereka terhadap Proton eMas 7, begitu juga dengan kepercayaan bahawa kami mampu menghadirkan sebuah ekosistem yang memudahkan pengalaman pemanduan elektrik,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Proton New Energy Technology (Pro-Net), Zhang Qiang. “Pencapaian ini meniupkan semangat agar kami mempertingkatkan lagi kualiti produk serta memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik.”
Dilancarkan pada Disember tahun lalu, eMas 7 dijual dengan harga RM109,800 bagi varian asas Prime dan RM123,800 untuk varian Premium. Turut diberikan ialah potongan harga RM4,000 bagi 6,000 pelanggan terawal, menjadikan harganya lebih rendah dengan masing-masing RM105,800 dan RM119,800. Harga yang menarik ini membawa kepada perang harga dengan pesaingnya, BYD Atto 3 Ultra dan Chery Omoda E5, yang turut diberi potongan harga untuk berada dalam harga yang sama dengan eMas 7.
Kedua-dua varian dikuasakan oleh motor elektrik di depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Yang membezakan keduanya ialah kapasiti bateri bilah pendek lithium iron phosphate (LFP) Aegis yang digunakan — Prime dengan 49.52 kWh yang memberikan jarak 345 km, manakala Premium dengan 60.22 kWh dengan jarak 410 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.