Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan hak rakyat, dan komited bersama kerajaan persekutuan bagi memastikan subsidi bahan api RON95 hanya dinikmati rakyat Malaysia.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak cuba mengambil kesempatan dengan menjual RON 95 kepada kenderaan asing,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook.
Menurut laporan Bernama, hantaran itu dibuat selepas beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han melakukan pemeriksaan di stesen minyak sekitar bandar Johor Bahru, bersama pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, bertujuan memastikan penjualan petrol RON95 mematuhi peraturan serta tidak disalah guna kenderaan berdaftar asing.
“Dalam operasi ini, kami meneliti pematuhan pengusaha stesen minyak terhadap larangan penjualan RON95 kepada warga asing, serta memastikan harga dikenakan tidak melebihi harga siling RM2.05 seliter.
“Had pengisian diesel sebanyak 20 liter bagi kenderaan asing dalam radius 50 kilometer (KM) daripada sempadan turut diperiksa, bagi memastikan peraturan itu dipatuhi,” katanya.
Onn Hafiz turut memberitahu aktiviti seperti ini akan diteruskan secara konsisten bagi melindungi hak rakyat dan memastikan subsidi sampai kepada mereka benar-benar layak sahaja. Beliau turut menyeru orang ramai memainkan peranan dengan membuat aduan kepada KPDN jika berlaku penyelewengan atau pelanggaran peraturan berkaitan bahan api bersubsidi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.