Bentley memperkenalkan model Continental GT, Continental GTC dan Flying Spur 2025, bersama dengan versi Azure, yang menggunakan enjin plug-in hybrid petrol-elektrik 4.0 liter V8 twin turbo berkuasa 680 PS dan tork 930 Nm.
Ketiga-tiganya dipanggil sebagai High Performance Hybrid model, terletak di bawah barisan model Ultra Performance Hybrid yang menggunakan nama Speed dan Mulliner, termasuk Continental GT Speed, GTC Speed dan Flying Spur Speed, dengan kuasa 782 PS dan 1,000 Nm, datang daripada enjin petrol 4.0L V8 biturbo.
Bentley memberitahu, tiga model baru ini mengatasi prestasi model GT Speed generasi sebelum ini, dengan Continental GT secara khususnya mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan Flying Spur 3.9 saat.
Memandangkan model baru ini menggunakan versi enjin yang sama dengan model Speed, ia boleh bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik sehingga 85 km untuk Continental GT dan 82 km untuk Continental GTC. Ini adalah hasil daripada penggunaan bateri 25.9 kWh pada binaan elektrikal 400 volt kenderaan tersebut.
Pakej Bentley Active Chassis diberikan pada model baru ini, dengan termasuk sistem Dynamic Ride, Rear Wheel Steering dan LSD kawalan elektronik yang boleh dipilih dalam mod Comfort, Bentley dan Sport.
Model asas Continental GT dan GTC menggunakan gril matriks berwarna hitam kilat, dengan keliling serta bar tengah yang berwarna krom, sementara gril bawah menggunakan warna hitam matte dan splitter warna hitam kilat. Lampu hadapan mendapat inspirasi daripada potongan kristal dan mempunyai nyalaan sambutan animasi khas.
Versi Azure bagi setiap model baru ini menggunakan rekaan yang lebih tradisional, dengan terdapat gril bersama jalur menegak yang berwarna krom. Rim menggunakan unit 22 inci yang berwarna perak, dan sebagai pelengkap, lencana Azure diletakkan pada fender hadapan.
Sudah tentu, sebagai sebuah Bentley, semua model ini boleh diubah suai mengikut kehendak pelanggan, dengan pelbagai pilihan kemasan, balutan, bahan dan warna yang disediakan untuk bahagian dalamnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.