Selepas diumumkan minggu lalu, Porsche 911 generasi 922 facelift kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia di TRX sempena meraikan 15 tahun jenama itu di sini
Dua varian diperkenalkan, bermula dengan Porsche 911 Carrera paling asas dengan harga jualan RM1.43 juta. Versi ini dilengkapi dengan enjin boxer 3.0 liter turbo berkembar enam-silinder dan menjana sebanyak 394 PS dan 450 Nm — naik daripada 385 PS berbanding model lama 992.
Kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik klac berkembar lapan-kelajuan, membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan mencapai laju maksimum 294 km/j.
Antara kelengkapan yang diperharui bagi model facelift ini ialah lampu depan kini dengan fungsi HD matrix LED yang memancar sejumlah 32,000 titik cahaya, dengan pancaran lampu tinggi sejauh 600 meter. Di belakang, rekaan lampu diberikan sentuhan baru, serta kedudukan nombor plat dinaikkan sedikit kedudukannya di bampar belakang.
Di dalam, 911 Carrera beralih kepada kluster instrumen 12.6-inci digital sepenuhnya dengan tujuh tataletak termasuk paparan klasik lima-tiub dengan tachometer di tengah seperti lazimnya yang terdapat pada panel instrumen Porsche.
Versi facelift ini juga menggunakan butang penghidup sama seperti model Porsche yang lain dan tiada lagi menggunakan kunci untuk tujuan itu. Untuk infotainmen, ia kini memanfaatkan unit 10.9-inci, kini dengan sambungan fungsi Apple CarPlay, dengan aplikasi seperti Spotify dan Apple Music boleh digunakan tanpa sambungan ke telefon.
Satu lagi varian prestasi yang diperkenalkan ialah Porsche 911 Carrera 4 GTS dengan harga RM1.89 juta, lengkap dengan enjin boxer 3.6 liter enam-silinder dengan elektrifikasi T-Hybrid (turbo elektronik) yang membolehkannya menjana sebanyak 540 PS and 610 Nm output. Ini menjadikan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.0 saat sahaja sementara laju maksimum 312 km/j.
Tetap ini menggunakan pengecas turbo tunggal yang menggantikan unit berkembar pada GTS sebelum ini, serta motor elektrik yang terletak di antara kompresor dan roda turbin pengecas turbo untuk mempertingkat maklum balas pendikit dan prestasi keseluruhan.
Turbo elektrik ini tidak lagi memerlukan penggunaan wastegate, dengan motor elektrik dalam pengecas turbonya bertindak sebagai generator, menghasilkan hingga 11 kW menggunakan aliran gas ekzos, sama seperti bagaimana sistem MGU-H bertindak di dalam jentera lumba moden.
Turut melengkapi tetapan ini ialah sebuah motor elektrik yang terletak di dalam transmisi automatik klac berkembar PDK lapan-kelajuannya. Kedua-dua motor mendapatkan tenaganya dari sebuah bateri 400V, 1.9 kWh yang terletak di bahagian depan kereta. Janaan keseluruhannya mencapai 540 PS dan 610 Nm, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.0 saat dengan laju maksimum 312 km/j.
Untuk casis, Carrera 4 GTS menampilkan stereng roda belakang sebagai ciri standard, dan kini 10 mm lebih rendah dengan sistem suspensi PASM yang disertakan. Untuk rim, model ini menggunakan sama ada rim 20-inci di depan dan 21-inci untuk roda belakang, dengan saiz tayar masing-masing 245/35ZR20 dan 315/30ZR21.
Di Malaysia, Porsche 911 Carrera ditawarkan dalam gaya badan Coupé bermula dari RM1.43 juta, sementara Carrera 4 GTS ditawarkan dalam gaya badan Coupé dan Targa, dengan harga bermula RM1.89 juta.
Porsche 911 Carrera 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.