Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

Hari secara rasmi SUV Flagship EV dengan tiga baris tempat duduk Volvo EX90 telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Namun untuk mereka yang masih lagi rasa tidak praktikal untuk bergantung sepenuhnya kepada kuasa elektrik, ini dia, Volvo Cars Malaysia (VCM) turut membawakan model kemaskini untuk SUV XC90 sedia ada iaitu Volvo XC90 facelift 2025.

Untuk pasaran Malaysia, VCM menawarkan XC90 facelift ini dalam dua varian bermula dengan XC90 Ultra B5 Mild Hybrid yang dijual pada harga RM418,888, diikuti varian tertinggi XC90 Ultra T8 PHEV berharga RM434,888. Semua angka yang disebutkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Model ini membuat kemunculan sulung globalnya pada September tahun lalu, di mana Volvo telah merombak semula rupa SUV yang sudah lebih 10-tahun dalam pasaran ini agar ia terus relevan untuk bersaing dengan pencabar-pencabar lebih terkini.

Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

Perubahan ketara diberikan pada bahagian hadapan di mana fender sisi, penutup bonet, lampu utama gril dan bampar kssemuanya menerima komponen baharu. Ia menerima inspirasi rekaan dari model EV penuh Volvo seperti EX90 dan EX30, menampilkan lampu hadapan dengan bentuk ‘Tukul-Thor’ yang lebih jelas.

Lampu berkenaan direka ‘tertusuk’ terus pada gril hadapan yang tiada lagi unsur klasik Volvo seperti rekaan jail bar atau egg crate sebelum ini, sebaliknya diberikan elemen garisan silang-menyilang yang dipisahkan menerusi palang dan logo ‘Iron Mark’ jenama automotif Sweden itu.

Manakala untuk bampar, rekaannya menampilkan sepasang liang udara yang direka menegak, membolehkan liang ambilan udara tengah dihasilkan lebih lebar. Bonet dan juga fender hadapan juga direka semula bagi disesuaikan dengan muka baharu ini. Walau bagaimanapun, rupa bahagian sisi dan belakang masih lagi nampak sama seperti versi facelift sebelumnya. Penyegaran yang dibuat adalah menerusi rekaan baharu pada set rim dan juga lampu belakang yang nampak lebih gelap.

Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

Varian asas Ultra B5 menerima enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 250 PS dan tork maksima 360 Nm dan juga sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dan juga sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Manakala untuk varian Ultra T8, enjin turbo tersebut ditambah dengan supercharger bagi menghasilkan kuasa 310 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan. Ia masih memacu semua roda, namun gandar belakang digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 145 PS/309 Nm, yang bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda, malah menjadikan kuasa keseluruhan SUV ini berjumlah 455 PS.

Walau bagaimanapun, kuasa tersebut sebenarnya berkurangan dari versi sebelumnya yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 462 PS/709 Nm. Oleh itu pecutan 0-100 km/j juga sedikit lambat dengan catatan 5.4 saat berbanding 5.3 saat sebelum ini.

Volvo XC90 facelift 2025 dilancar di Malaysia – bermula RM419k, B5 Mild Hybrid 250 PS dan T8 PHEV 455 PS

Untuk motor elektrik pada gandar belakang, ia dibekalkan kuasa menerusi bateri berkapasiti 18.8 kWj, membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak sehingga 77 km. Ia juga boleh dicas semula seperti model EV sebenar – dengan pengecas AC 6.4 kW, cas penuh mengambil masa sehingga tiga jam.

Perbezaan antara kedua-dua model ini nampaknya hanya dibezakan dengan unit rangkaian kuasa sahaja, dan perincian lain adalah sama untuk Ultra B5 dan Ultra T8 pasaran Malaysia ini. Oleh itu kedua-duanya diberikan sistem suspensi udara aktif dan juga rim aloi lima-jejari kemasan Black Diamond-cut berdiameter 20-inci, dibalut dengan tayar 275/45R20.

Pada sebelah dalam, XC90 facelift ini turut menerima papan pemuka baharu, namun ia dilihat masih menampilkan susunan yang sama seperti model sebelumnya seperti skrin dan liang pendingin hawa yang direka menegak bersama suis kawalan ringkas di bawahnya.

Tombol gear kristal Orrefors juga masih diberikan, tetapi diberikan rekaan konsol terowong dan roda stereng berbeza. Beberapa perubahan lain turut dibuat untuk memberikan tingkat taraf praktikaliti menerusi maklum balas pengguna model sebelumnya. Ia termasuk pemegang cawan pada konsol terowong yang lebih kecil, pengecas tanpa wayar dipindahkan ke bahagian hadapan, perapi-perapi dalaman bertekstur kini diperbuat dari bahan kitar semula dan juga lampu suasana kabin yang dipertingkat.

Antara perincian yang dibekalkan standard untuk kedua-dua varian pasaran Malaysia ini termasuk upholsteri kulit Nappa, paparan head-up, skrin bersaiz 11.2-inci untuk sistem infotainmen lengkap dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto yang diberikan antara muka yang sama seperti EX90 yang beroperasi dengan beroperasi dengan OS Android Automotive dengan servis Google percuma selama lima tahun, sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity dengan 19-pembesar suara serta larasan teknologi Dirac Unison Tuning dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Kedua-duanya juga menerima tempat duduk hadapan larasan elektrik empat-hala untuk lumbar lengkap dengan fungsi memori dan juga pengalir udara, perehat badan dan perehat kepala tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan bantuan kuasa, serta pintu tailgate yang boleh dioperasikan tanpa sentuhan tangan.

Untuk keselamatan pula XC90 facelift pasaran Malaysia ini diberikan tujuh-beg udara, kamera pemantau 360 darjah, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti sistem pengelak dan mitigasi pelanggaran, pengelak dengan putaran stereng untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan skuter, pengelak dan amaran pelanggaran belakang, sistem informasi titik buta dengan bantuan stereng, bantuan kekal lorong, amaran lintasan trafik belakang dengan brek kelajuan rendah, bantuan berhenti kecemasan dan banyak lagi.

Sebanyak empat warna badan ditawarkan untuk Volvo EX90 pasaran Malaysia ini iaitu Onyx Black, Denim Blue, Crystal White dan Vapour Grey. Namun hanya satu tema kabin diberikan iaitu hitam Charcoal digandingkan bersama kemasan kelabu Grey Ash.

Kedua-duanya juga diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Manakala untuk varian Ultra T8, bateri untuk sistem PHEV diberikan perlidungan waranti selama lapan tahun atau 160,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required