Berdasarkan data pendaftaran kenderaan JPJ bagi bulan Mac 2025, BYD mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama EV paling popular di Malaysia dan mendahului di tempat pertama. BYD mencatatkan pendaftaran sebanyak 1,020 unit bagi semua lima modelnya. Proton pula merekodkan sebanyak 737 unit.
Bagi angka keseluruhan setakat ini (YTD) pula, BYD dan Proton masing-masing merekodkan 2,159 unit dan 1,738 unit. Bacaan untuk April akan lebih sengit, kerana model BYD Atto 3 Ultra telah diberikan tawaran lebih murah dan kini dengan harga hampir sama Proton eMas 7.
Jenama yang pernah jadi pesaing utama BYD sebelum ini, Tesla bagaimanapun semakin jauh di tempat ketiga dengan 627 unit terjual: serahan bagi Model Y facelift Juniper juga belum bermula.
Dengan kehadiran Denza sebagai sub-jenama BYD, kedudukan Tesla itu juga akan lebih tercabar — Denza mengatasi jualan Tesla bagi Mac, dengan 204 unit MPV D9 telah terjual, berbanding 171 unit oleh Tesla. Prestasi ini telah meletakkan Denza ditangga keenam bagi kedudukan YTD dengan 238 unit, walaupun pendaftaran hanya bermula pada Februari dengan hanya 34 unit.
Berada di atas Denza bagaimanapun ialah BMW dan Zeekr, dengan angka yang sama — 157 unit EV masing-masing. Bagi YTD, BMW mencatatkan 468 unit berbanding 269 unit bagi Denza.
Di kedudukan ketujuh ialah Porsche, dengan 74 unit EV didaftarkan sepanjang Mac — tentunya disumbangkan oleh Macan dan juga Taycan recon. MG pula mengatasi Xpeng (73 unit vs 72 unit) — dengan YTD Xpeng 227 unit, Porsche 163 unit dan 155 unit untuk MG. Tempat ke-10 adalah milik MINI dengan 46 unit bagi Mac 2025, dan 120 unit YTD.
Hyundai pula kembali masuk senarai bulan lalu dengan menjual 41 unit EV, manakala Volvo pula dengan 43 unit. Selain itu, smart berada di kedudukan ke-15 dengan 18 unit EV didaftarkan bulan lalu. Kedua-dua jenama itu berada di belakang Chery, yang menjual sebanyak 30 unit Omoda E5 bulan lalu. Neta pula di tempat ke-18 dengan 17 unit.
Untuk bulan Mac, Dongfeng telah terkeluar daripada senara 20 teratas ini dengan hanya mencatatkan tiga unit Box yang didaftarkan. Tempatnya diambil alih oleh Jaguar, dengan mendaftarkan enam unit I-Pace.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.