Data pendaftaran kenderaan oleh JPJ bagi bulan Mac 2025 menunjukkan corak jualan dan pendaftaran kenderaan kembali kepada corak kebiasaannya, paling tidak untuk kedudukan 20 kereta paling laris.
Perodua Bezza mengukuhkan lagi kedudukan pertamanya dengan mencatatkan pendaftaran sebanyak 8,517 unit bagi Mac, dengan jumlah semasa YTD 23,335 unit. Ini diikuti oleh Axia (7,031 unit, dan YTD 21,223) dan kemudiannya Myvi dengan 6,593 unit (YTD 18,183 unit) — model pelopor tiga teratas yang tidak asing lagi. Proton Saga pula berada di kedudukan keempat dengan 5,891 unit dan YTD 15,364 unit — walaupun Proton mendakwa menjual sebanyak 6,000 unit, itu termasuk jualan eksport.
Ini diikuti oleh Honda City dengan 3,541 unit bagi kedua-dua sedan dan hatchback, mengatasi Perodua Ativa (3,154 unit), Toyota Vios (2,360 unit) dan Proton S70 (2,119 unit) — S70 kembali mengatasi Civic untuk bulan Mac.
Sementara itu, Honda HR-V dengan 2,676 unit terus mengatasi Proton X50 (1,795 unit) dan Toyota Corolla Cross (1,486 unit), manakala Honda CR-V dengan 1,077 unit tipis mengatasi model China Jaecoo J7 (1,068 unit). J7 bagaimanapun mengatasi YTD-nya — 2,706 unit vs 2,399 unit.
Toyota Hilux kekal menjadi satu-satunya trak pikap yang berjaya menembusi kedudukan 20 terlaris ini dengan pendaftaran sebanyak 1,745 unit sepanjang Mac, manakala Mitsubishi Xpander juga dalam senarai dengan 949 unit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.