JPJ telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan bagi bulan Mac 2025. Proton eMas 7 masih mengekalkan kedudukan teratas sebagai EV paling laris setakat ini, di sini. Dengan sejumlah 737 unit terjual sepanjang Mac 2025, ia menjadi satu-satunya EV yang jualannya melepasi empat angka bagi 2025, dengan jumlah jualan setakat ini sebanyak 1,738 unit.
Di tempat kedua pula ialah BYD Sealion 7 dengan 303 unit terjual sepanjang bulan (dengan 841 unit YTD setakat ini), diikuti oleh barisan model BYD yang lain. MPV M6 pula menyaksikan jumlah yang meyakinkan dengan 281 unit terjual (YTD 537 unit), sementara bagi BYD Atto 3 mencatatkan sedikit peningkatan dengan 258 unit terjual (YTD 404).
Model pendatang baru, Denza D9 — yang juga merupakan sub-jenama BYD — mencatatkan angka memberangsangkan dengan 204 unit terjual bulan lalu, membolehkannya mengatasi pesaingnya, Zeekr 009 (151 unit bulan lalu — YTD 238 unit vs 235 unit).
Tesla Model 3 pula jatuh ke tangga ke-8 dengan hanya 138 unit didaftarkan, dengan YTD sebanyak 518 unit. Model Y pula jauh di tangga ke-17 bagi Mac, dengan hanya 33 unit terjual dan YTD di tempat ke-13 dengan 108 unit. Serahan model Juniper pula masih belum bermula.
Model EV lainnya menyaksikan corak mendatar. Porsche menyaksikan dua modelnya, Taycan dan Macan memasuki kedudukan 20 paling laris, sementara MG Cyberster menyandang tangga ke-20 dengan 25 unit berjaya didaftarkan sepanjang Mac.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.