Kita baru sahaja menerima GR Yaris facelift yang dilancarkan pada Januari lalu. Namun di Jepun, jentera rali jalan raya tersebut sudahpun diperkenalkan dalam versi satu lagi tingkat taraf untuk tahun 2026. Kali ini, model tersebut datang dengan talaan yang lebih diperhalusi, serta ditawarkan dengan pilihan kit badan yang lebih agresif.
Antara talaan semula utama yang dibuat adalah terhadap varian yang menggunakan kotak gear automatik lapan-kelajuan GR Direct Automatic Transmission (GR-DAT). Ketika diperkenalkan tahun, kotak gear yang dibangunkan sendiri oleh Gazoo Racing ini sudahpun menampilkan kebolehan “menukar gear seakan pemandu profesional”. Talaan terbaharu yang diberikan untuk versi 2026 menambahbaik kawalan pemilihan gear tersebut bagi memberikan respon lebih baik ketika sesi pemanduan sporty.
Perubahan tersebut termasuk meluaskan lagi kadar putaran enjin yang membenarkan penukaran dari gear dua ke gear satu, sama ada dalam mod automatik atau menggunakan pedal penukar gear. Kadar pendam pedal penukar gear juga dikurangkan, manakala “rasa terus” ketika menukar gear secara manual menghampiri garis merah bacaan rpm dalam mod Sport juga telah ditambah baik.
Sekiranya anda menggunakan mod auto, tukaran ke gear tinggi kini dilambatkan ketika dipandu laju menaiki bukit bagi membolehkan enjin sentiasa menghasilkan kuasa tertinggi. Namun tiada sebarang perubahan dibuat pada enjin. GR Yaris 2025 ini masih menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelum ini, menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Pembeli juga masih boleh memilih varian yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.
Sistem pacuan semua roda GR Four juga tidak diusik; mod Normal memberikan agihan tork 60:40 antara gandar hadapan dan belakang; mod Gravel memberikan agihan tork 50:50; manakala mod Track akan memberikan agihan tork bervariasi berdasarkan situasi antara 60:40 sehingga 30:70.
Manakala untuk casis, Toyota telah menukar set bolt yang mengikat komponen-komponen suspensi GR Yaris ini dengan lebih tegar. Walaupun perubahan tersebut dilihat kecil, kesannya agak besar kerana ia telah menambahbaik respon stereng, kestabilan laluan lurus dan “rasa bersatu dengan kereta”. Malah dengan penukaran set bolt ini, Toyota perlu membuat talaan semula terhadap penyerap hentak GR Yaris ini agar ini ia memberikan kawalan badan dan keselesaan yang lebih baik.
Sistem stereng kuasa elektrik juga diberikan talaan semula bagi memberikan rasa yang lebih linear. Talaan ini dibuat menerusi input yang diberikan oleh pelumba pasukan Super GT Rookie Racing dan Super Formula, Kazuya Oshima.
Talaan ini dihasilkan berbeza untuk dua varian, iaitu varian RZ High Performance yang fokus untuk kegunaan litar serta diberikan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang, serta varian RZ biasa untuk dipandu lebih pada jalan raya.
Pilihan brek tangan menegak yang sebelum ini hanya diberikan pada varian RC yang lazimnya dijelmakan sebagai kereta rali sebenar, kini turut ditawarkan untuk semua varian. Manakala varian dengan kota gear automatik kini menerima perehat kaki yang lebih besar. Sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense juga kini adalah standard untuk semua varian, termasuk varian RC.
Kalau anda GR Yaris ini masih tidak cukup garang dari segi penampilan, Toyota kini turut menawarkan kit badan baharu yang digelar Aero Performance Package, iaitu versi produksi untuk prototaip Aero Package yang didedah di Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu.
Kit yang direka dari pengetahuan Gazoo Racing ketika berlumba tersebut merangkumi bonet aluminium hadapan berliang, liang pada fender hadapan bagi membebaskan golakan udara dalam ruang roda, spoiler bumbung belakang lebih besar dengan sudut sayap yang boleh dilaras, liang udara bampar belakang untuk mengurangkan seretan udara, alas bawah tangki petrol untuk mengurangkan daya angkatan di belakang, yang disepadankan dengan spoiler bawah bampar hadapan.
Di Jepun, GR Yaris 2026 ini akan dijual pada harga bermula 4,480,000 yen (RM138,800) untuk varian RZ, manakala varian RZ High Performance pula dijual harga 4,980,000 yen (RM154,300). Pelanggan yang mahukan kotak gear automatik pula perlu menambah sebanyak 350,000 yen (RM10,800). Manakala Aero Performance Package pula dijangka untuk ditawarkan seawal pada musim luruh tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.