Selepas mengeluarkan teaser minggu lepas, GWM Malaysia kini mengumumkan, tempahan untuk Tank 500 sudah dibuka kepada orang ramai. Turut disertakan adalah jangkaan harga jualannya, yang dikatakan berada di bawah RM350,000.
SUV tujuh tempat duduk ini pernah dipamerkan sewaktu Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) Disember lalu, dengan ukuran badannya adalah 5,070 mm panjang, 1,934 mm lebar dan 1,905 mm tinggi. Berkemungkinan model yang tiba di Malaysia adalah versi parallel hybrid (tiada plug-in), sama seperti Thailand.
Dalam tetapan tersebut, SUV ini datang dengan enjin empat silinder 2.0 liter turbo 244 PS/380 Nm, bersama motor elektrik 106 PS/268 Nm. Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi automatik hidraulik (HAT) sembilan kelajuan, menghasilkan kuasa keseluruhan 350 PS dan tork 616 Nm.
Antara perkakasan pemanduan yang datang pada Tank 500 ini adalah seperti pengunci differential belakang elektronik, kunci differential tengah mekanikal, 11 mod pemanduan, fungsi “tank turn” serta Body Transparent System yang menggunakan kamera untuk menghasilkan pemandangan di bawah dan di hadapan kenderaan, seterusnya dipaparkan kepada skrin.
Senarai kelengkapan masih belum diberitahu, tetapi kita boleh menjangkakan sesuatu yang sama seperti model Thailand, yang ditawarkan dalam dua varian. Di sana, barangan standard yang diberi adalah termasuk lampu utama LED automatik, DRL LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED, pemijak kaki tepi bukaan kuasa dan rim 20 inci.
Turut disediakan adalah panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, penukar gear di stereng, sistem bunyi Infinity 12 pembesar suara, kawalan suhu tiga zon, balutan kulit Nappa, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori di bahagian pemandu dan penyandar larasan kuasa untuk tempat duduk baris ketiga. Perincian penuh akan diberitahu apabila ia dilancarkan nanti.
GWM Tank 500 di KLIMS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.