Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli mengumumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan baharu membabitkan kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam melebihi 7.5 tan dan ke atas pada Mei ini, berikutan peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat terutama lori kebelakangan ini.
Menurutnya buat masa sekarang JPJ bersama pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan sedang meneliti dan memperincikan SOP dan garis panduan berkaitan.
“Antara perkara yang sedang diperincikan termasuk SOP serta tindakan yang akan diambil terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju ditetapkan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Kita nampak memang kes untuk kenderaan perdagangan ini makin meningkat dan salah satu faktornya adalah (pemandu) kenderaan-kenderaan ini membawa kenderaan mereka melebihi had laju yang ditetapkan
“Jadi salah satu langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah mengurangkan had laju kenderaan-kenderaan ini. Jadi ini yang kita sedang perincikan dan kita akan umumkan perincian dalam masa terdekat, mungkin dalam Mei nanti,” katanya dalam laporan Berita Harian.
Aedy Fadly turut mendedahkan bahawa antara SOP dan garis panduan baharu itu termasuk tindakan terhadap kenderaan perdagangan yang melebihi had laju dan larangan kenderaan perdagangan untuk menggunakan lorong kanan di semua jalan utama dan lebuh raya sebelum ini.
Tambahnya lagi penambahbaikan itu akan memperincikan SOP dan garis panduan serta tindakan-tindakan yang akan diambil di peringkat agensi penguat kuasa seperti JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.