JPJ memaklumkan bahawa mangsa kebakaran gas di Putra Heights yang masig memerlukan dokumen gantian bagi kenderaan mereka boleh berbuat demikian di mana-mana pejabat JPJ, dan akan diberikan secara percuma, lapor Bernama.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, mangsa yang belum mendapatkan gantian dokumen mereka boleh berkunjung ke mana-mana kaunter JPJ bersama butiran peribadi seperti kad pengenalan dan alamat rumah sebagai pengesahan, tanpa perlu membuat laporan polis terlebih dahulu.
“JPJ membatalkan semua yuran ke atas dokumen-dokumen gantian itu sebagai usaha kebajikan kami. Ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa yang terlibat, yang kehilangan dokumen kenderaan mereka dalam kejadian berkenaan,” jelas beliau.
Beliau juga menjelaskan, dokumen yang layak untuk mendapatkan pergantian percuma termasuklah geran kenderaan, lesen kenderaan motor (cukai jalan), lesen memandu serta empat jenis lesen GDL.
Beliau menambah, kaunter mudah alih JPJ yang dinaikkan di Pusat Pindahan Sementara di Masjid Putra Heights pada 3-6 April lalu menyaksikan sebanyak 221 dokumen milik mangsa telah diganti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.