Selepas disahkan akan dilancarkan di Malaysia pada Februari lalu, hari ini Honda Malaysia telahpun mengumumkan bahawa model EV pertama yang akan dijual oleh jenama itu ke pasaran tempatan iaitu Honda e:N1 sudahpun dibuka, manakala pelancarannya akan dibuat pada suku kedua 2025.
Tempahan bagi model tersebut boleh dibuat secara atas talian sama ada menerusi laman sesawang khas yang diwujudkan pada PAUTAN INI, atau pun menggunakan aplikasi HondaTouch. Berdasarkan tinjauan kawasan-kawasan pasaran penting kenderaan elektrik bateri (BEV) di Malaysia, buat masa sekarang Honda Malaysia telah melantik lapan pengedar bertauliahnya di tiga bahagian utama negara khas untuk menguruskan permintaan pelanggan terhadap model e:N1 ini.
Lapan pengedar bertauliah tersebut adalah seperti berikut:
Honda e:N1 ini telah membuat kemunculan pertamanya di Malaysia ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 Disember lalu. Honda e:N1 ini merupakan versi EV untuk SUV segmen-B Honda HR-V. Namun menurut Honda ia diasaskan dari platformnya tersendiri dikenali sebagai e:N Architecture F bagi menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa terdiri dari motor elektrik, unit pemacu kuasa dan transmisi pada gandar hadapan, memacu roda hadapan.
Motor berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Perincian lebih terperinci bagi model pasaran Malaysia masih belum diumumkan, namun untuk versi di Thailand padanan tersebut membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, serta mencatatkan kelajuan maksima 160 km/j.
Walaubagaimanapun Honda Malaysia ada mengesahkan bahawa kuasa elektrik akan dibekalkan dari bateri litium-ion 68.8 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 500 km dalam kitaran ujian NEDC. Spesifikasi model pasaran Thailand menyebut bateri tersebut membolehkan e:N1 ini bergerak sejauh 412 km untuk satu cas penuh dalam dalam kitaran ujian WLTP.
Antara kelengkapan yang sudah disahkan bagi e:N1 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED, rim aloi 18-inci kemasan dua tona, serta sistem pengecas yang mampu menerima pengecas AC dan pengecas pantas DC.
Tiada sebarang perincian berkenaan harga disebut oleh Honda Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini. Di Thailand, Honda e:N1 ini baru sahaja dijual bermula bulan lalu pada harga 1.199 juta baht (RM157,000), di mana bateri dan kelengkapan sistem EV lain dilindungi waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km.
Ia sebenarnya sudah diperkenalkan di Thailand sejak 2024, namun buat permulaan e:N1 ini hanya ditawarkan dalam pakej langganan yang dibuat menerusi 12 penyedia kereta sewa di sana, dengan kos bayaran bermula 29,800 baht (RM3,800) sebulan.
GALERI: Honda e:N1 di KLIMS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.