Proton telah kemukakan perancangan bagi kemaskini over-the-air (OTA) yang akan dilakukan ke atas Proton eMas 7. Ini menurut satu hantaran dalam laman Facebook Proton eMas 7 Community Malaysia. Minggu lalu, dikatakan syarikat itu telah mengeluarkan kemaskini firmware Flyme Auto S versi 1.1.4 yang melibatkan beberapa penambahbaikan.
Merujuk kepada bahan taklimat yang dirakam gambarnya, kemaskini OTA dikeluarkan berkenaan diberikan kepada kenderaan pelanggan dalam tempoh setiap tiga bulan. Yang sudah diselesaikan setakat ini bagi OTA April ialah butang Start/Stop pengecasan, brek yang diperkemas serta ciri untuk pemilik melihat kedudukan kereta ketika ia tidak dihidupkan.
Set kemaskini seterusnya adalah pada suku kedua tahun ini, yang mungkin akan diberikan pada Julai nanti, dan akan melibatkan Apple CarPlay tanpa wayar, bunyi “van ais krim” yang boleh ditukar, capaian kepada aplikasi pihak ketiga, kemaskini imbasan radio serta lain-lain yang akan dimaklumkan kelak.
Ini akan diikuti oleh kemaskini pada suku ketiga 2025, mungkin sekitar Oktober. Ini akan melibatkan Apple CarPlay dengan wayar, fungsi memori untuk penukaran amaran kelajuan dan lain-lain. Kemaskini OTA terakhir pula dijangka pada Disember nanti, melibatkan Android Auto dengan dan tanpa wayar, dan lain-lain kemaskini.
Dilancarkan hujung tahun lalu, eMas 7 diperkenalkan dalam dua varian — Prime dan Premium — kedua-duanya dengan motor elektrik di depan, yang menjana 218 PS dan 320 Nm. Ini membolehkan SUV elektrik ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 175 km/j.
Prime menggunakan bateri 49.52 kWh dan menawarkan jarak 345 km, sementara Premium menggunakan bateri 60.022 kWh yang memberikan jarak 410 km (WLTP), dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Aegis bilah pendek oleh Geely.
Untuk mengecas dari keadaan 30% hingga 80% memerlukan 20 minit dengan pengecas DC sehingga 100 kW bagi Premium (80 kW bagi Prime). Sementara cas penuh menggunakan wallbox 11 kW AC memerlukan 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium. eMas 7 juga merupakan model pertama Proton yang dilengkapi ciri bantuan pemanduan, termasuk ciri pemanduan semi-autonomous Tahap 2.
Proton eMas 7 Premium 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.