Mitsubishi telah menangguhkan buat sementara waktu penghantaran kenderaan kepada pengedarnya di Amerika Syarikat sebagai kesan daripada tariff automotif 25% yang dikenakan oleh pemerintahan Trump, lapor Automotive News. “Kami menahan kenderaan di pelabuhan sehingga kami memperoleh kejelasan berkaitan tariff dan keputusan diambil untuk langkah seterusnya,” ujar seorang jurucakap.
Ketika ini, pengedar jenama itu di AS mempunyai stok 20,245 kenderaan untuk dijual, yang bersamaan nilai dengan bekalan untuk 100 hari urusan perniagaan. Semua kenderaan ini tidak terkesan oleh tariff automotif yang diperkenalkan pada 3 April 2025.
Bagaimanapun, insentif pelanggan untuk Outlander, model paling laris jenama itu di sana, akan dikurangkan dengan jangkaan peningkatan harga yang dijangka berlaku pada tahun ini. Menurut laporan itu, pembeli hanya akan menerima USD1,000 “rebat tunai” untuk SUV berkenaan berbanding USD1,500 ketika ini. Sebagai tambahan, kadar pembiayaan bagi pembeli yang layak telah naik hingga 4.99% daripada 2.99%. Semua kereta Mitsubishi yang dijual di AS dibuat di Jepun, yang terdedah dengan tariff Trump tersebut.
Dengan langkah ini, Mitsubishi menyertai jenama lain seperti Lotus, Jaguar Land Rover, Volkswagen dan Audi yang menangguhkan penghantara kenderaa kepada pengedar. Dalam perkembangan lain, Volvo memberhentikan penjualan model S90 di AS kerana model berkenaan diimport dari China.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.