Tidak seperti kebanyakkan model yang semakin membesar dari generasi ke generasi – lihat sahaja evolusi Porsche 911 dan MINI – perkara ini tidak terjadi kepada Mazda MX-5. Sejak dari pengenalan model generasi pertama sehingga keempat yang masih dijual kini, Mazda MX-5 masih dihasilkan dalam saiz yang lebih kurang sama.
Bukan hanya kekal dengan saiz yang sama, malah MX-5 juga kekal wujud dengan resipi sama iaitu menggunakan enjin empat-silinder sebaris tanpa sebarang induksi paksaan (turbo atau supercharger), pacuan roda belakang dan penawaran kotak gear manual.
Model generasi sedia ada dengan kod casis ND kini sudahpun berada 11-tahun dalam pasaran, jadi sudah banyak kedengaran khabar angin tentang pembangunan model generasi seterusnya. Bagi terus kekal relevan dengan piawaian emisi terkini, ada yang mengatakan MX-5 bakal menampilkan teknologi elektrifikasi sama ada bakal dijana unit rangkaian kuasa hibrid atau elektrik sepenuhnya. Dan ada juga yang mengatakan model konsep Iconic SP dengan enjin rotary dan motor elektrik yang didedahkan di Tokyo pada Oktober 2023 merupakan prebiu kepada MX-5 generasi baharu.
Namun semua ini telah dinafikan oleh beberapa pegawai kanan Mazda dalam laporan Road & Track, di mana mereka mengesahkan bahawa model generasi kelima MX-5 kini dalam peringkat perancangan, dan model berkenaan akan mengekalkan resipi asal dengan enjin petrol sepenuhnya, tanpa induksi paksaan (naturally aspirated atau NA), tiada sistem elektrifikasi, ringan serta menawarkan kotak gear manual.
“Apa yang ditakrifkan sebagai MX-5?” tanya ketua pegawai teknikal Mazda Ryuichi Umeshita. “Saya akan jawab perkara yang paling penting adalah ia ringan, dan perkara kedua paling penting juga adalah ringan. Ini kuncinya – apa jua masa depan MX-5, ia haruslah ringan.”
Manakala pengurus besar rekaan Mazda Masashi Nakayama yang mengetuai pasukan pereka untuk MX-5 generasi sedia ada memberitahu bahawa beliau sendiri enggan menghasilkan model berkenaan sebagai roadster yang lebih besar walaupun ada yang memintanya berbuat demikian.
“Ketika saya mula membuat rekaan model generasi keempat ini, ada permintaan dari Amerika Syarikat untuk menghasilkan kereta yang lebih besar dan tingkatkan kuasanya,” kata Nakayama dan menyambung “Saya kata, adakah anda benar-benar mahu sebuah Harley-Davidson?”
Tambahnya lagi dalam menghasilkan blueprint untuk MX-5 generasi seterusnya, “Kami cenderung untuk memilih yang mana komponen lebih murah, lebih ringan dan lebih kecil. Dengan itu, kami boleh elakkan kereta tersebut untuk jadi terlebih besar. Apabila kami membuat penilaian MX-5 generasi seterusnya, kami mempertimbangkan untuk menjadikan beratnya kurang dari satu tan, dan panjang kurang dari empat meter.”
Jadi model generasi baharu kelak turut bakal mengekalkan saiz yang lebih kurang sama dengan model generasi sedia ada yang menampilkan panjang 3,915 mm, dan berat untuk varian paling ringan iaitu dengan enjin 1.5 liter NA dan kotak gear manual hanya mencecah 1,010 kg.
Bagi menghasilkan kereta dengan berat lebih rendah iaitu di bawah satu tan akan menjadi lebih mencabar menurut Umeshita kerana ia perlu memenuhi piawaian keselamatan terkini yang ketat, namun sekurang-kurangnya ia tidak perlu lebih kuasa tambahan.
“Nisbah kuasa-kepada-berat sedia ada sudah memadai. Kami tak fikir kami perlukan lebih kuasa untuk kereta ini, kerana kami sudahpun boleh menggunakan sepenuhnya dan menikmati kebolehan dan kapasiti enjin…jadi jawapan saya adalah kami tidak merancang untuk menambah lebih kuasa kepada kereta tersebut. Secara asasnya, ini adalah konsep yang mengekalkan ciri unik kereta ini,” jelas Umeshita.
Beliau turut mengesahkan MX-5 baharu kelak akan menerima enjin SkyActiv generasi baharu yang akan dikenali sebagai enjin SkyActiv-Z. Enjin ini akan membuat kemunculan sulungnya menerusi SUV Mazda CX-5 generasi baharu yang bakal diperkenalkan pada akhir 2027, di mana ciri unik enjin ini adalah ia boleh mengekalkan kadar campuran udara dan bahan api sempurna dalam nisbah 14.7:1 (atau 1 lambda) pada setiap tahap rpm enjin.
Enjin dengan pembakaran yang sangat cekap berkenaan dijangka membolehkan Mazda menghasilkan kenderaan yang melepasi piawaian emisi Euro 7 dan standard LEV IV di California tanpa menggunakan sebarang sistem hibrid elektrik.
“Jika kami menuju ke Lambda:1, secara semula jadinya kuasa akan berkurangan,” kata Umeshita. “Tetapi untuk mengelakkannya, kami perlu memastikan kapasitinya adalah 2.5 liter. Jadi kuasanya adalah sangat baik, dan ekonomi bahan api juga akan sangat baik,” kata Umeshita yang turut mengesahkan enjin berkenaan juga akan menerima pilihan kotak gear manual.
“Transmisi manual mempunyai rasa yang terus, rasa Jinba Ittai [iaitu slogan Mazda bagi membayangkan seperti hubungan bersatu antara kuda dan penunggangnya]. Ia merupakan pakej yang utama, sekurang-kurangnya untuk MX-5,” jelasnya.
Umeshita menyatakan Mazda akan cuba mempertahankan MX-5 sebagai model dengan enjin pembakaran dalaman selama yang boleh, sehingga ia diharamkan di Eropah pada 2035, dan selepas itu model dengan unit rangkaian kuasa elektrik mungkin akan dipertimbangkan.
“Jika semua enjin pembakaran dalaman diharamkan, selepas itu barulah kami tiada pilihan, dan sudah tentu, pasukan kejuruteraan kami kini sedang membuat kajian kedua-dua arah – [MX-5]EV bateri dan enjin pembakaran dalaman. Tapi apa jua kami buat, pilihan enjin pembakaran dalaman adalah lebih ringan,” katanya.
Kewujudan MX-5 buat masa sekarang didorong oleh minat pegawai-pegawai atasan Mazda terhadap pemanduan sporty. Malah Umeshita dan CEO Mazda, Masahiro Moro sendiri kini berlumba dalam salah satu perlumbaan endurance di Jepun sebagai sebahagian pasukan lumba eksekutif syarikat itu.
“Pada saya, memandu dalam kelajuan perlumbaan, anda boleh mewujudkan kemahiran bagi merasai dinamik kenderaan. Ini adalah penting buat kami,” kata Moro.
“Anda perlu ada set kemahiran bagi membuat penilaian sendiri terhadap dinamik…saya bukan pemandu pakar, apa pun, kami memang ada orang yang lebih berkemahiran untuk melakukannya – tapi saya mahu menjadi sebahagian dari set kemahiran tersebut,” tambah bos besar Mazda itu lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.