Media China mendakwa ketika ini Neta yang sedang berhadapan dengan masalah kewangan akan menawarkan pertukaran hutang kepada ekuiti terhadap 134 pembekal utamanya dengan nilai melebihi RMB2 bilion (RM1.2 bilion) supaya pengeluaran boleh diteruskan, lapor CnEVPost.
Neta menawarkan untuk menukar 70% daripada tuntutan pembekalknya kepada ekuiti di dalam syarikat induknya Hozon Auto. Sementara baki 30% lagi akan dilayan sebagai hutang tanpa faedah yang akan dibayar semula dalam tempoh 15 bulan bermula Mei nanti, lapor media Jiemian. Menurut sebuah lagi media, Yicai, CATL dan Gotion High-tech merupakan antara pembekal utama yang sudah menyatakan persetujuan.
Berita tentang masalah Neta ini pertama kali terdedah pada November 2024, dan menurut media 21jingji, Neta telah berjumpa dengan beberapa pembekal di ibupejabatnya di Shanghai pada 19 Mac untuk membincangkan penukaran hutang kepada pegangan dalam syarikat, kerana pelabur yang berpotensi mahukan Neta untuk mengurangkan hutangnya sebelum mereka sanggup membuat pelaburan baru.
Beban kewangan Neta ketika ini mencecah RMB10 bilion (RM6 bilion), hampir dua pertiga daripadanya adalah hutang kepada pembekal, menurut 21jingji. Walaupun Neta menyerahkan 152,073 kenderaan pada 2022 (+118% bagi tempoh sama tahunan), jualan kemudiannya melemah bagi tempoh dua tahun lalu, dan syarikat itu berhenti menerbitkan serahan bulanannya sejak Oktober 2024, lapor CnEVPost.
Neta bagaimanapun ikut serta dalam Pameran Permotoran Bangkok 2025, dan mengumumkan matlamatnya untuk menjual lebih 10,000 unit tahun ini di Thailand. Pada 22 Mac, Neta mendapatkan sejumlah 10 bilion baht (RM1.3 bilion) kredit daripada Nissan Leasing (Thailand). Akhbar The Nation melaporkan pada hujung Mac bahawa Neta berjanji akan menyambung pengeluaran di Thailand pada Jun selepas menyelesaikan hutangnya terhadap pembekal dan pengedar.
Sementara itu, The Business Times melaporkan awal bulan ini bahawa bilik pameran tunggal Neta di Singapura telah ditutup selepas hanya tiga bulan dan empat unit kenderaan sahaja yang didaftarkan, merujuk data daripada Land Transport Authority.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.