Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT memperkenalkan dua zon baharu dan satu zon sedia ada yang diperluaskan kawasan liputan bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula hari ini, 17 April 2025.
Zon baharu tersebut adalah Terminal Puchong Utama – Puchong Prima yang menyediakan tiga buah van dan boleh ditempah menerusi aplikasi Trek Rides. Satu lagi zon baharu ialah MRT Bandar Tun Hussein Onn – Taman Desa Baiduri di Cheras, juga disediakan dengan tiga buag van dan tempahan boleh dilakukan menerusi aplikasi MOBI.
Manakala bagi zon Asia Jaya yang sedia ada, ia dijenamakan sebagai zon PJ Sentral – Seksyen 7 & 17 dan merupakan penambahbaikan serta penggantian dari laluan T786B (LRT Asia Jaya – MRT Phileo Damansara) di mana kawasan liputan akan lebih meluas serta lebih banyak hentian yang disediakan bagi memberi lebih banyak pilihan hentian kepada para pengguna sedia ada dan menarik lebih ramai pengguna baharu dari kawasan sekitar untuk mencuba perkhidmatan ini.
“Untuk semua zon terbabit, sejumlah 10 buah van akan digunakan dalam operasi harian. Penetapan jumlah van bagi setiap lokasi adalah berbeza mengikut kajian serta keperluan bagi kawasan tersebut,” ujar Ku Jamil Zakaria, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus.
Sehingga bulan Mac 2025, perkhidmatan ini telah beroperasi di 37 buah zon sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk memberikan capaian perkhidmatan kepada para pengguna dan dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar, terutama sekali di perumahan yang tiada capaian perkhidmatan bas. Bagi bulan Mac sahaja kadar purata pengguna harian seramai 4,753 orang dicatatkan.
Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan.
Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.