Great Wall Motor (GWM) Malaysia mendedahkan kenderaan elektrik (EV) kompak, Ora Good Cat GT, juga berada dalma senarai barisan model untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.
Ora Good Cat GT diberikan rekaan yang agresif di bahagian bampar hadapan, sekitar gerbang roda dan juga skirt sisi, yang kesemuanya diberikan kemasan ala-gentian karbon.
Selain itu, Good Cat GT diberikan lencana spesifik, spoiler belakang yang lebih menyerlah, diffuser belakang, kaliper brek kuning serta roda aloi dua-tona 18-inci. Serlahan kontras terang juga menjadi sebahagian daripada perubahan luaran dan dalaman, termasuk logo ‘GT’ pada perehat kepala tempat duduk, bersama upholstery kulit dan suede.
Dimaklumkan bahawa Good Cat GT di Thailand juga menerima kuasa yang lebih padu hasil motor elektrik hadapan dengan 171 PS (169 hp atau 126 kW) dan tork 250 Nm. Sebagai perbandingan, Good Cat bukan GT hadir dengan 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan 210 Nm.
Kedua-dua versi tersebut menggunakan bateri yang sama iaitu unit lithium iron phosphate (LFP) 57.7-kWh, tetapi varian bukan GT memberikan jarak gerak hingga 480 km mengikut standard NEDC, sementara 460 km untuk GT. Selain itu, GT diberikan mod launch control yang tidak ditawarkan pada model standard.
Perlu diingat bahawa ciri ini khusus untuk Good Cat GT yang dijual di Thailand, dan kemungkinan versi yang kita bakal dapat mungkin berbeza. Ini termasuk pemilih gear, yang dipasang pada lajur stereng untuk model Thailand yang dikemas kini, tetapi untuk pasaran kita, hanya unitrotary dial diberikan. Kita akan mendapat gambaran yang lebih lengkap apabila Good Cat GT dilancarkan secara rasmi di sini.
Di Malaysia, Good Cat ditawarkan dengan dua varian. Bagi varian 400 Pro, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM114,500 tanpa insurans dan diberikan bateri LFP 47.8-kWh (jarak gerak 400 km), sementara 500 Ultra berharga RM144,500 yang diberikan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 63.1-kWh (jaak gerak 500 km mengikut standard NEDC) – kedua-duanya menerima motor 105-kW. Dijangkakan versi GT akan ditawarkan dengan harga yang lebih mahal seperti di Thailand.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.