Ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025 hari ini, Chery telahpun mendedahkan rupa baharu untuk SUV segmen-C Tiggo 7 generasi sedia ada. Ia bukan sahaja menampilkan rupa yang lebih segar, malah model yang didedahkan ini turut menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) baharu dari siri Chery Super Hybrid.
Berbanding versi sedia ada yang kini sedang dijual di Malaysia, Tiggo 7 facelift ini menampilkan lampu hadapan dan juga gril yang kurang bersegi, bersama grafik LED lampu nyalaan siang berbentuk-L berkembar serta bentuk projektor yang berlainan, dan tiada lagi kemasan krom di bawah lampu yang bersambung dengan gril. Ini menyebabkan rupa Tiggo 7 facelift ini lebih mirip seperti abangnya iaitu Tiggo 8.
Dan mungkin ini merupakan varian PHEV, gril hadapannya dilapisi permukaan lutsinar yang rata bersama logo Chery yang tenggelam. Bampar hadapan yang dipadankan juga berbeza di mana bahagian kemasan hitam dibuat lebih besar, bahagian berjalur dikurangkan, serta diberikan lampu kabus bulat pada sisi bawah bampar berkenaan.
Perubahan besar turut boleh dilihat pada sebelah belakang di mana ia diberikan lampu berbeza yang nampak lebih bersegi, lebih nipis serta menampilkan lensa jenis jernih bagi menonjolkan grafik LED di dalamnya. Lampu berkenaan masih dihubungkan di kiri dan kanan menerusi satu bar lampu merentangi sepenuhnya pintu tailgate, namun ia kini lebih tebal.
Perumah nombor pendaftaran juga telah dialihkan lebih tinggi dari bahagian bampar ke pintu tailgate menyebabkan rupa belakang Tiggo 7 facelift ini berbeza terus dari model sedia ada di Malaysia. Juga reflektor merah yang sebelum ini melintang di bawah bampar kini sudah berada dalam keadaan ‘berdiri’ pada setiap sisi bampar dengan perumah direka seakan liang udara. Model PHEV ini juga tidak menampilkan tip ekzos pada bampar, berbanding model petrol penuh di Malaysia yang diberikan dua perumah tip berkenaan.
Pada sebelah dalam, Tiggo 7 ini masih menampilkan papan pemuka dengan skrin infotainmen utama dan juga skrin paparan instrumen yang bersambung ala-Mercedes-Benz, dan juga suis-suis kawalan fizikal terletak di bawah liang udara tengah. Roda stereng pula diperkemas dengan pemadanan suis seperti pad bagi menggantikan suis-suis biasa sebelum ini, serta tuil kawalan dengan lebih banyak perincian krom serta direka lebih besar dan tidak bulat yang memberikan lebih nampak seperti Mercedes-Benz.
Konsol tengah masih nampak sama, tetapi tuil gear yang direka leper sebelum ini telah diganti dengan tombol gear dengan bentuk lebih konvensional namun diperbuat dari kristal. Perincian-perincian lain nampak masih sama dengan kawalan larasan tempat duduk depan diletak pada pintu bersama rekaan lain seperti penutup pembesar suara dan suis tingkap semuanya diinspirasikan dari Mercedes-Benz, manakala kemasan-kemasan brushed aluminium telah ditukar kepada gentian karbon palsu yang lebih nampak seperti Mercedes-AMG.
Untuk sistem rangkaian kuasa, Tiggo 7 PHEV ini menerima sistem CSH terbaharu yang menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem hibrid, menampilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5%.
Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri 18.3 kWj.
Gandingan tersebut membolehkan Chery Tiggo 7 PHEV ini mencapai penggunaan bahan api serendah 1.39 L/100km, dan satu tangki bahan api membolehkan ia bergerak sejauh 1,200 km. Malah dengan mod EV, SUV ini boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan.
Sebenarnya mengikut perancangan Chery Malaysia, Tiggo 7 PHEV sepatutnya mula dijual di Malaysia tahun lalu. Namun dengan pengenalan versi baharu ini, mungkin pasaran kita akan terus menerima Tiggo 7 PHEV dengan facelift baharu dan juga unit rangkaian kuasa CSH yang lebih terkini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.