Mercedes-Benz hadir di Shanghai Motor Show 2025 dengan membawa sebuah van konsep yang dinamakan sebagai Vision V, yang memberi petunjuk kepada van mewah masa hadapan menggunakan platform VAN.EA (Van Electric Architecture) termasuk siri VLE dan VLS.
Rekaannya sangat menyerlah, dengan bentuk keseluruhan yang membulat, logo atas bonet menyala, rim 24 inci, lampu hadapan dengan nyalaan bercorak bersambung di tengah serta gril besar yang sebenarnya tertutup. Belakang juga sama, dengan lampu merah di sekeliling pintu but yang kelihatan seperti unit kaca sepenuhnya.
Ada laporan yang menyebut platform VAN.EA ini mempunyai binaan elektrikal 800V dan boleh dipilih dengan tetapan motor tunggal atau berkembar, dan varian tertinggi dikatakan boleh menyediakan jarak gerak sehingga 500 km dengan sekali cas penuh. Apabila dilancarkan nanti, van ini akan datang dengan sistem pemanduan autonomous Level 2, dan kemudiannya akan diikuti oleh Level 3 dan Level 4 selepas itu.
Di dalam terdapat dua tempat duduk untuk bahagian hadapan dan dua lagi di bahagian belakang, dijadikan berasingan dengan dinding kaca yang boleh ditukar menjadi skrin 65 inci. Turut disediakan adalah buah catur kristal dalam rak lutsinar di bahagian tepi, 42 pembesar suara Burmester serta lampu suasana.
Mercedes memberitahu, versi produksi bagi van ini tidak akan berubah banyak apabila diperkenalkan pada tahun hadapan dan ia akan memberi saingan kepada Toyota Alphard/Vellfire, Lexus LM, Volvo EM90 dan pelbagai lagi penawaran daripada jenama China.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.