Pengeluaran CKD bagi model Audi Q7 generasi kedua versi facelift kedua sudah bermula di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang pada kadar tiga unit sehari, sebelum pengenalan rasminya bulan depan. SUV berkenaan yang dibuka untuk tempahan sejak 10 April lalu diberi harga anggaran sekitar RM469k-RM489k, merupakan model CKD pertama Audi di Malaysia dan Asia Tenggara.
“Kilang pemasangan ini serta transformasinya dengan portfolio produk yang dikemaskini serta lebih moden sendirnya merupakan sebuah manifestasi kecemerlangan. Pelanggan akan terus menikmati hal yang sama dengan kualiti, prestasi dan kemewahan Audi — kini buatan Malaysia,” jelas Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Dr Susanne Lehmann.
Kilang Pekan ini, yang turut memasang Volkswagen Golf, Arteon, Tiguan Allspace dan Touareg (kembar Audi Q7), turut dijangkakan akan mengeluarkan model lain Audi pada masa hadapan, pada kapasiti tahunan 5,000 unit. Pelaburan awal berjumlah lebih RM12 juta telah disediakan untuk tujuan ini.
Ditawarkan dalam varian tunggal 3.0 TFSI, harga anggaran Q7 itu berada dalam julat yang sama dengan pesaing Jerman lain seperti BMW X5 xDrive50e yang bermula dari RM494,800 dan Mercedes-Benz GLE450 (dengan jaminan empat-tahun) dengan harga RM524,888 — model Audi dan Mercedes mempunyai tujuh-tempat duduk.
Ia menggunakan enjin yang saman dengan Volkswagen Touareg: 3.0 liter turbocas TFSI V6 dengan janaan 340 PS dari 5,200 hingga 6,400 rpm, dengan 50 Nm lebih tork kepada 500 Nm dari 1,370 dan 4,500 rpm. Model Audi ini bagaimanapun diberi tambahan sistem 48-volt mild hybrid, menggunakan starter-generator pacuan tali sawat untuk membolehkan enjin dimatikan selama 40 saat antara kelajuan 55 km/j dan 160 km/j. Ini membolehkan Audi Q7 memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.
Di dalam, beberapa kemaskini dilakukan ke atas model tersebut, menyamai model Q8 — dengan kemasan perak dan hitam, dan tiga skrin: 12.3-inci kokpit maya Audi; 10.1-inci skrin sentuh atas di tengah dengan sistem infotainmen MIB 3 Volkswagen generasi ketiga; dan paparan 8.6-inci di bawahnya untuk kawalan pendingin.
Pakej S Line pula menawarkan penampilan lebih sporty, dengan stereng rata di bawah dan kerusi sport larasan elektrik yang dibalut kulit Valcona — juga ada liang pengudaran dan fungsi memori, dan sokongan lumbar.
Kelengkapan standard lain termasuklah head-up display, pintu ditutup lembut, penghadang matahari tingkap belakang, navigasi Audi Connect, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyai 3D premium Bang & Olufsen dengan 19-pembesar suara, sistem kameran keliling 360-darjah, bantuan parkir, suspensi udara, stereng roda belakang dan pintu karga bebas kawalan tangan.
Aspek keselamatan pula datang antaranya dengan ciri AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan mengekalkan lorong, bantuan stereng evasif, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, AEB undur dan lampu tinggi adaptif.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.