Geely Galaxy Starship 7 EM-i kini dipertontonkan di Auto Shanghai 2025, China dan sekarang kita dapat melihat sendiri SUV hibrid petrol-elektrik tersebut. Model ini menggunakan penggerak plug-in hybrid 2.0 NordThor generasi kedua – dibangunkan daripada penggerak EM-P yang digunakan oleh Lynk & Co – menampilkan kemampuan yang tinggi.
Secara asasnya adalah Galaxy E5/Proton eMas 7 dengan penggerak hibrid petrol-elektrik, enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo yang digunakan dapat mencapai kecekapan haba 46.6%, hasil daripada kebuk pembakaran yang dapat meningkatkan putaran angin. Kuasa yang dihasilkan adalah 111 PS dan tork 136 Nm.
Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi hibrid khas (E-DHT), yang menggabungkan starter-generator P1 bersepadu dan motor penggerak P3 untuk menghasilkan 218 PS dan 262 Nm, memacu Galaxy Starship 7 dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan mencapai kelajuan 180 km/j.
Di China, dua saiz bateri ditawarkan – 8.5 kWh dengan jarak gerak elektrik penuh 55 km (CLTC) dan 12.02 kWh yang boleh mencapai 120 km. Apabila digabungkan dengan enjin pembakaran dalaman 1.5 liter dan tangki bahan api 51 liter, Geely mendakwa ia boleh mencapai 1,420 km, dengan kadar penggunaan bahan api 3.75 l/100 km.
Untuk pengecasan, Geely memberitahu Galaxy Starship 7 boleh menerima hingga 1.9C, atau 1.9 kali ganda kapasiti baterinya, membawa kepada pengecasan DC 36 kW. Cas dari 30-80% mengambil masa 20 minit, dan Galaxy Starship 7 juga menawarkan fungsi vehicle-to-load (V2L).
Berkenaan dimensi luar, Galaxy Starship 7 mencatat ukuran panjang 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dan jarak roda 2,755 mm, menjadikannya 125 mm lebih panjang, 4 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi berbanding E5, sementara jarak roda pula 5 mm lebih panjang berbanding kembar EV-nya.
Seperti yang dapat dilihat di dalam gambar, Galaxy Starship 7 berbeza berbanding Galaxy E5 dan eMas 7 dengan penggunaan pembuka pintu biasa, sementara dua model EV itu menggunakan jenis yang tenggelam sama rata dengan badan apabila tertutup.
Selain daripada itu, terdapat juga lagi beza perincian pada Galaxy Starship 7 seperti bahagian hadapan yang mempunyai jalur lampu penuh dari kiri ke kanan, DRL bertingkat pada setiap bucunya serta lampu utama yang lebih rendah.
Di bahagian belakang, lampunya adalah sedikit berbeza berbanding E5 dan eMas 7, dan begitu juga dengan pintu but serta bampar belakang, yang mempunyai rekaan berlainan.
Di dalam, susun atur papan pemukanya adalah sama seperti E5/eMas7, tetapi dengan konsol tengah serta corong pendingin hawa yang lebih simetri. Sementara itu, butang pelbagai guna serta pendingin hawanya diubah lebih rendah pada bahagian konsol.
Berkenaan Malaysia, Proton telah mendaftar tanda dagang eMas7 PHEV, sekaligus menunjukkan kemahuannya untuk membawa model ini. Jika jadi, ia akanmemberikan alternatif kepada eMas 7 yang menggunakan elektrik/bateri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.