Pada masa ini pasaran MPV mewah di China semakin bertambah besar dan GWM menyertai segmen tersebut dengan memperkenalkan Wey Gaoshan 9, iaitu satu versi lebih panjang bagi Wey 80 yang sudah sedia besar. Tampil di Auto Shanghai 2025, MPV ini mempunyai overhang 365 mm lebih panjang, membolehkannya untuk memberi saingan kepada model seperti Lexus LM, Denza D9 dan Zeekr 009, sambil masih mengekalkan tetapan tiga baris tempat duduk.
Ya, GWM tidak sekadar mempunyai empat tempat duduk seperti LM dan 009 Grand, dan lebihan panjang itu digunakan untuk menyediakan dua lagi tempat duduk kapten di baris paling belakang. Selain ruang yang luas untuk penumpang, Gaoshan 9 juga masih mempunyai ruang barangan 315 liter di belakang apabila semua tempat duduk tegak, dan apabila baris ketiga dibaringkan, ia menjadi 1,975 liter.
Tempat duduknya, selain boleh dilaras sehingga baring menggunakan kawalan elektronik, juga menyediakan fungsi pemanas, liang udara serta mengurut. Penumpang juga boleh menggunakan kelengkapan lain seperti meja lipat, laci penyejuk serta monitor 17.3 inci di bumbung. Ciri lain yang disediakan adalah termasuk kawalan suara untuk semua enam penumpang, 23 pembesar suara, sistem bunyi 2,440 watt dan sekurang-kurangnya enam mikrofon untuk karaoke.
Varian Gaoshan 9 ini (dan Gaoshan 8 tujuh tempat duduk yang lebih pendek) diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kemas kini menyeluruh untuk Gaoshan, atau dipanggil sebagai Wey 80 di China. Sementara reka bentuknya tidak diubah, kabin hadapan menerima rekaan yang diperbaharui dengan penambahan dua skrin sesentuh infotainmen 15.6 inci (dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295) untuk bahagian tengah dan penumpang hadapan.
Menggerakkan MPV ini adalah sistem plug-in hybrid Hi4-T, yang terdiri daripada enjin empat silinder 1.5 liter turbo 170 PS/245 Nm, motor elektrik 109 PS/170 Nm dan transmisi hibrid khas (DHT) empat kelajuan, bersama satu lagi motor 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang. Kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 458 PS dan 644 Nm, dengan bateri yang digunakan adalah unit nickel manganese cobalt (NMC) 51.55 kWh, mampu memberikan jarak gerak elektrik (WLTP) 201 km dan jarak gerak keseluruhan 963 km.
Apabila ditanya sama ada Gaoshan 9 ini akan dijual di ASEAN, pengerusi GWM, Jack Wey memberitahu, pengeluaran untuk versi pemanduan sebelah kanan sedang dipertimbangkan dan ia mempunyai beberapa kelebihan berbanding Alphard yang sedang menguasai pasaran. Jika betul versi RHD akan dibuat, berkemungkinan besar ia akan dipasang di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Melaka bersama Wey 80.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.