Selain Jetour T2, Jetour Auto International turut mempamerkan satu lagi SUV off-road keluarannya, T1 menerusi penganjuran Auto Shanghai 2025 yang bakal membuka tirainya esok. Untuk kebanyakan pasaran global, T1 ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 turbo dan 2.0 turbo, dan setiapnya menerima dua varian iaitu model asas Comfort dan varian tertinggi Lux.
Bagi enjin 1.5 turbo, ia menerima hamburan kuasa hingga 181 hp pada 5,500 rpm dan tork 290 Nm dari 2,000 – 3,500 rpm dengan padanan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, serta mampu mencapai kelajuan tertinggi hingga 180 km/j. Model asas 1.5T ini hanya menerima padanan sistem pacuan dua-roda sahaja bersama tiga mod pemanduan iaitu Sport, ECO dan Normal.
Untuk varian yang lebih padu, ia diberikan enjin 2.0 turbo dengan keseluruhan kuasa cecah 251 hp pada 5,500 rpm dan tork 390 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm, dengan gandingan transmisi automatik lapan-kelajuan. Walau pun kelajuan maksimumnya sama dengan versi 1.5T, namun varian 2.0T ini dipadankan dengan sistem XWD (Intelligent 4WD) yang pastinya memberikannya pengendalian yang lebih padu. Ia turut disertakan dengan tujuh mod pemanduan iaitu Sport, Eco, Normal, Snow, Sand, Mud, dan Rock, menjadikannya lebih sesuai untuk dilenjan untuk pemanduan off-road seperti T2.
Menurut Jetour, dengan sistem XWD ini, ia memberikan 20% kuasa pendikitan yang lebih pantas berbanding sistem 4WD tradisional, malah menambahkan kestabilan pemanduan sekitar 15%. Ia juga didatangkan dengan limited-slip differential dan rear electronic limited-slip differential, sekaligus membantu menambah baik kuasa cengkaman terutamanya ketika merentasi laluan yang licin. Selain itu, ia turut diberikan kit bantuan pemanduan termasuk wading radar system, off-road cruise mode dan off-road cooling. Kedua-dua varian penjana kuasa juga menerima sistem suspensi yang sama iaitu topang MacPherson untuk hadapan dan Multi-Link di belakang.
Bagi aspek keselamatan, kesemua varian menerima kelengkapan standard termasuk enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak Isofix, Cornering Brake Contro, ABS dengan EBD, sistem bantuan brek, sistem kawalan cengkaman, kawalan kestabilan elektronik, radar parkir belakang, sistem imej panoramik 540 Auto dan HDC Steep slope gentle descent system.
Walau bagaimana pun, tiga varian tertinggi menerima ciri tambahan iaitu pengesan titik buta, amaran pelanggaran belakang, amaran membuka pintu, dan amaran sisi kenderaan mengundur. Dan pastinya model spesifikasi penuh pula diberikan lagi ciri tambahan iaitu amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan termaju, pencahayaan dekat dan jauh adaptif, kawalan kelajuan adaptif,sistem kawalan kelajuan pintar bersepadu, radar parkir hadapan dan bantuan kesesakan lalu lintas.
Untuk bantuan pemanduan pula, kesemua varian diberikan remote activation, auto hold, brek parkir elektronik, dan penukar gear elektronik.
Jetour X1 ini memiliki dimensi berukuran 4,705 mm panjang, 1,967 mm lebar dan 1,843 mm tinggi, dengan jarak roda 2,800 mm dan jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 190 mm. Ia juga diberikan ruang but berkapasiti 574 liter yang boleh ditambahkan menjadi 1,455 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Berkenaan dengan rekaan luarannya, T1 diberikan sentuhan yang elegan dengan gaya estetika (walau pun imejnya tidaklah seranggi T2), bentuk badan yang berkotak, namun lunjuran badannya cukup menawan. Ciri luaran yang diberikan termasuklah lampu utama automatik LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, lampu belakang LED, skrip perkataan Jetour yang merentasi bahagian gril hadapan, roda aloi (18-inci untuk 1.5T dan 19-inci untuk 2.0T), bumbung panoramik, luggage rack, dan tidak seperti T2, model T1 ini tidak disertakan kotak penyimpanan tayar di belakang.
Bahagian kabinnya juga ada iras dengan T2, namun sedikit berbeza dengan rekaan corong pendingin hawa hadapan yang lebih ringkas. Ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah panel instrumen digital 10.25-inci, skrin sesentuh sentral 15.6-inci ( 12.8-inci untuk varian asas), ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit Lmitation dengan larasan kuasa untuk bahagian hadapan, sistem kemasukan tanpa kunci, pad pengecas tanpa wayar, dwi kawalan untuk pendingin hawa automatik, air purifier dengan penapis PM2.5, sistem bunyi sekeliling Sony dengan lapan unit pembesar suara (9 unit untuk varian tertinggi) dan pencahayaan ambien bersama 64-warna.
Jetour T1 ditawarkan dengan enam pilihan warna luaran iaitu hitam, putih, perak, keemasan, biru dan hijau, manakala untuk bahagian kabinnya pula ditawarkan dengan tiga kombinasi warna iaitu hitam/jingga, hitam/hijau dan hitam/kelabu.
Model prototaip T1 versi pemanduan sebelah kanan (RHD) turut dipamerkan secara eksklusif di Hilton Shanghai yang menjadi tempat penginapan media pemotoran global termasuk paultan.org sepanjang membuat liputan untuk Auto Shanghai 2025. Jika T2 sah bakal memasuki Malaysia walau tidak dinyatakan adakah hujung tahun ini mahu pun 2026, namun bagi T1 pula, ia masih belum dimuktamadkan biar pun sebelum ini ada ura-ura ia juga akan menyertai barisan model Jetour yang akan di’CKD’kan untuk pasaran kita. Kena tunggu pengumuman selanjutnya dari Jetour Malaysia.
GALERI: Jetour T1 di Auto Shanghai 2025
GALERI: Model prototaip Jetour T1 versi pemanduan sebelah kanan
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.