Di Auto Shanghai 2025, Leapmotor telah memperkenalkan model kenderaan elektrik siri B keluarannya yang diberi nama B01 sedan. Menggunakan platform LEAP 3.5 yang sama dengan SUV B10, ia mempunyai ukuran 4,770 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,490 mm tinggi, dengan jarak roda 2,735 mm. Berbanding sebuah lagi sedan jenama ini di pasaran China, C01, B01 ini 280 mm lebih pendek, 22 mm kurang lebar dan 25 mm lebih rendah dengan jarak roda yang 195 mm lebih pendek.
Aspek rekaan yang menonjol termasuklah penggayaan depan dan belakangnya yang mirip B10 dan C10, dengan wajah depan tertutup serta jalur lampu yang tirus yang menghubungkan lampu utamanya. Di belakang juga menerapkan rakaan yang sama, dengan lampu panjang melintang di antara dua lampu di sisinya. Sebagai pilihan, ada ditawarkan bumbung kaca panoramik.
Pilihan janaan kuasa ada dua: motor tunggal untuk varian battery electric vehicle (BEV) bagi pasaran domestik, dengan output yang sama dengan B10. Yang pertama menghasilkan 177 hp (179 PS, atau 132 kW) dan 175 Nm, sementara yang kedua dengan janaan 215 hp (218 PS, atau 160 kW) dan 240 Nm.
Motor dengan 177 hp mendapatkan kuasanya daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) 56.2 kWh, menyediakan jarak 510 km CLTC. Untuk kitaran WLTP, ia bersamaan dengan 420 km. Motor yang lebih berkuasa, 215 hp pula menerima bateri LFP 67.1 kWh: untuk sedang ini ia didakwa memberikan 650 km jarak CLTC (550 km WLTP).
Dengan senibina elektrikal 800V, B10 menyokong pengecasan pantas DC yang membolehkan 30%-80% SoC dalam masa 19 minit untuk unit 56.2 kWh, atau 20 minit untuk unit 67.1 kWh. Dengan AC pula, ia memerluka 4.2 jam untuk 30%-80% SoC bagi bateri lebih kecil, atau 5.6 jam untuk bateri lebih besar. Kedua-dua bateri dibekalkan oleh CALB (China Aviation Lithium Battery).
B01 ini juga menggunakan teknologi CTC 2.0 (cell-to-chassis) yang sama dengan model lain Leapmotor, melibatkan bateri ditempatkan dalam casis untuk mempertingkatkan keteguhan rangka kenderaan dan mempercekap pengecasan pantas.
Di dalam, B01 menampilkan kokpit yang sama dengan B10. Antara kelengkapan yang ada ialah kluster instrumen digital 8.8-inci dan paparan skrin sentuh untuk infotainmen 14.6-inci 2.5K berdefinisi tinggi yang menggunaan sama ada cip Qualcomm Snapdragon SA8155 atau 8295A: dengan cip yang kedua ini mempunyai kuasa pengkomputeran 30 TOPS, dan menggunakan sistem operasi OS 4.0 Plus.
Dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto sebagai ciri standard, B01 akan didatangkan dengan sistem LiDAR sebagai pilihan yang dipadankan dengan cip SA8650 di China. Ini membolehkan bantuan navigasi automatik di bandar dan lebuh raya serta kemampuan pemanduan pintar.
Leapmotor menjelaskan, B01 dan B10 ditujukan kepada demografik pengguna yang lebih muda, dan akan dijual di China dengan harga antara 100,000 hingga 150,000 yuan (RM60,000 hingga RM90,000).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.