Tahun lalu Chery Malaysia telah mengesahkan bahawa SUV segmen-A Tiggo 4 bakal sampai ke pasaran tempatan pada separa pertama tahun ini. Dan ketika kunjungan kami ke Chery Super Hybrid Exploration Tour di Ibu Pejabat Chery di Bandar Wuhu, China hari ini mendedahkan bahawa kita bakal menerima Tiggo 4 dengan unit rangkaian kuasa hibrid HEV baharu dari siri teknologi Chery Super Hybrid (CSH) yang baru sahaja dilancarkan pada peringkat global.
Perkara ini kami sedari pada satu bahagian pameran yang menunjukkan rancangan pelancaran model baharu Chery dengan sistem CSH tersebut di peringkat antarabangsa, di mana Chery Tiggo 4 HEV ditunjuk akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei 2025. Namun semakan kami terhadap wakil Chery Malaysia menyatakan bahawa Tiggo 4 HEV itu hanya akan diprebiu pada bulan hadapan dan belum lagi akan dilancarkan, dan bakal dikenali sebagai Tiggo Cross pada pasaran Malaysia.
Chery turut ada mempamerkan Tiggo 4 HEV tersebut pada acara hari ini, di mana luaran dan dalaman SUV dengan saiz hampir seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V tersebut sama dengan versi facelift terkini yang telah ditunjukkan pada tahun lalu. Di pasaran-pasaran tertentu, model facelift terkini ini turut dikenali sebagai Chery Tiggo Cross.
Tiggo 4 HEV ini menerima enjin dengan kod G4G15B, di mana ia adalah enjin 1.5 liter empat silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson.Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 97 hp dan tork makisma 118 Nm.
Tidak seperti versi sebelum ini Tiggo 4 hanya datang dalam varian hibrid ringkas untuk versi lebih mesra alam pada pasaran-pasaran tertentu, unit rangkaian kuasa CSH pada Tiggo 4 HEV ini merupakan sistem hibrid penuh. Jadi enjin tadi digandingkan dengan kotak gear khas untuk sistem hibrid (DHT) dengan kod DHT150 yang menggunakan sistem CVT, atau digelar sebagai ECVT.
Kotak gear berkenaan turut mengintegrasikan sekali dua motor elektrik dengan bekalan 201 hp dan tork maksima 310 Nm. Motor tersebut menerima kuasa dari bateri hibrid dengan kapasiti 1.83 kWj. Gandingan ini membolehkan Tiggo Cross HEV ini mencapai penggunaan bahan api serendah 5.4 L/100 km, dan mampu untuk bergerak sejauh 1,000 km untuk satu tangki petrol.
Kami jangkakan pendedahan tersebut akan dibuat di Malaysia Autoshow 2025 bermula 9 Mei nanti.
GALERI: Chery Tiggo Cross HEV di Chery Super Hybrid Exploration Tour, Wuhu, China
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.