Jetour G700 di Auto Shanghai 2025 – SUV off-road mewah; 2.0L AWD turbo dwi-motor, 750hp/795Nm

Jetour G700 di Auto Shanghai 2025 – SUV off-road mewah; 2.0L AWD turbo dwi-motor, 750hp/795Nm

Jetour Auto International mengambil kesempatan dalam penganjuran Auto Shanghai 2025 yang mula berlangsung hari ini dengan mendedahkan SUV off-road mewah keluarannya, G700. Selain model ini, Jetour turut mempamerkan model SUV off-road keluarannya yang lain iaitu T1 dan T2 dalam acara yang sama.

Jetour G700 ini disasarkan bakal mula dijual di China tahun ini, ia menampilkan platform Gimbal Off-road Chassis (GAIA) dengan gabungan penjana kuasa 2.0 liter pengecas turbo dan dua motor elektrik, yang mampu menghasilkan output hingga 760 hp dan tork 795 Nm menerusi sistem pacuan semua roda (4WD). ia dipadankan dengan transmisi DHT hybrid dua-kelajuan yang dikatakan pertama kali diperkenalkan di dunia.

Berkenaan kapasiti baterinya dengan binaan 800-voltan, ia juga didakwa mampu memberikan jarak gerak antara 1,400 hingga 1,500 km, dengan 150 km daripadanya menggunakan kuasa elektrik semata-mata. Status pengecasannya dari 20% hingga 80% mengambil masa sekitar 10 minit dengan unit pengecas pantas DC.

Jetour G700 di Auto Shanghai 2025 – SUV off-road mewah; 2.0L AWD turbo dwi-motor, 750hp/795Nm

Satu lagi penjana kuasa yang bakal ditawarkan ialah unit 2.0 liter empat-silinder yang juga berfungsi untuk mengecas empat motor elektrik. Setiap satu motor elektrik membekalkan kuasa higga 408 hp. Sama seperti versi PHEV, penjana kuasa ini juga menggunakan senibina 800-voltan yang sama.

Dibandingkan dengan model pesaingnya, Mercedes-AMG G63 diberikan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 dengan kuasa 585 hp dan tork 850 Nm.

SUV off-road mewah ini berukuran 5.1 meter panjang dan mampu membawa muatan hingga 3,500 kg, ketinggian kendaliannya boleh dilaras hingga 150 mm, dengan maksimum jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 350 mm. G700 ini juga didakwa memiliki keupayaan melenjan laluan off-road dengan lebih meyakinkan.

Ia mampu merentasi jarak kedalaman hingga 900 mm, berbanding G63 yang hanya boleh berbuat demikian dengan kedalaman 700 mm. Menurut Jetour lagi, G700 ini juga dipadankan suspensi aktif dengan ‘sifar olengan’ (ketika merentasi selekoh) dan berhenti mendadak sewaktu dibrek.

Bagi imej luarannya, G700 turut mengetengahkan rekaan berkotak, sama seperti kebanyakan SUV setara dengannya yang berada di kebanyakan pasaran ASEAN. Ia menjadikkan imejnya menarik perhatian dan menyerlah seperti yang ditonjolkan oleh Mercedes-Benz G-Class dan Land Rover Defender. Untuk bahagian hadapan, gril kemasan hitam pekat hingga bampar bawah cukup besar menyerlahkan lagi sifat garangnya. Lencana ‘JT’ terletak di bahagian tengah hujung hud, dan lampu utama LED dengan kemasan gelap turut menjadi pilihan. Padanan aksesori hitam dengan warna badan pada bahagian luaran memberikan kontras yang menarik untuk G700 ini.

Di dalamnya, G700 diberikan enam tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2, bersama material kulit premium suede warna beige dan kontras coklat pada segenap ruang kabin. Konsol tengahnya juga besar, terletaknya butang kawalan termasuk pemilih gear yang juga besar. Selain itu, ciri kelengkapan lain yang turut ditampilkan termasuklah skrin infotainmen yang besar, alas meja, perehat kaki dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan.

Selain yang ditunjukkan dalam Auto Shanghai 2025 ini, kita masih belum mengetahui perincian penuh yang bakal ditampilkan pada Jetour G700, ini kerana ia masih di bawah fasa pre-produksi. Dengar cerita, harganya mungkin bakal menjangkau dari 400,000 yuan (lebih kurang RM240k) hingga 1.5 juta yuan (sekitar RM900k) mengikut spesifikasi yang bakal disahkan kelak.

Memandangkan Jetour Malaysia sudah mengesahkan T2 bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan, adakah SUV off-road mewah G700 ini juga ada harapan untuk menyertai Jetour Dashing yang telah dilancarkan pada awal bulan ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required