Chery secara rasmi melancarkan satu lagi sub-jenamanya yang dikenali sebagai Lepas, yang bukan sahaja disasarkan untuk pasaran China, malah akan dibawa ke peringkat global. Jenama ini masih lagi akan menggunakan asas platform dan pilihan unit rangkaian kuasa yang sama dengan siri Tiggo, Jaecoo dan Omoda, namun tampil dengan gaya dan bahasa rekaan yang lebih tersendiri.
Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang. Jadi untuk kesemua model dengan jenama Lepas akan menerima lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu.
Selain itu, bahagian sisi model-model Lepas ini juga akan tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.
Manakala pada bahagian dalaman, setiap model-model Lepas ini akan diberikan papan pemuka ringkas dengan rekaan asas diinpirasikan dari latar langit bumi, dan disertakan dengan konsol tengah yang bersepadu dengan skrin tengah utama dalam posisi potret serta dicondongkan seakan air terjun yang mengalir ke bawah.
Sementara pada pintu dan papan pemuka, Lepas akan memberikan balutan fabrik yang tidak pernah ada pada mana-mana jenama sebelum ini, menampilkan tekstur seakan kulit bayi.
Ketika pelancaran jenama peringkat global yang dibuat pusat operasi utama Chery iaitu di Bandar Wuhu, China ini, Lepas turut mendedahkan model pertama yang telahpun mula diproduksi iaitu Lepas L8. SUV ini tampil dengan dimensi 4,688 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak roda 2,800 mm.
Jadi Lepas L8 ini jelas menggunakan platform yang sama seperti Chery Tiggo 8 yang bertanding dalam kelas segmen-D. Ia juga ditawarkan dengan semua unit rangkaian kuasa yang ada pada Tiggo 8 iaitu dalam versi petrol penuh, hibrid dan Plug-In Hybrid (PHEV) menggunakan sistem Chery Super Hybrid (CSH) dan versi elektrik penuh (EV). Unit yang didedahkan ini merupakan versi yang dipadankan dengan unit rangkaian kuasa PHEV.
Menurut naib CEO Lepas Wei Zhong dalam ucapannya, jualan untuk Lepas L8 ini akan bermula pada lewat tahun ini. Dan selepas itu ia akan disusuli dengan dua lagi SUV yang lebih kecil iaitu L6 dan L4 (kembar kepada Chery Tiggo 7 dan Tiggo 4), serta dua model sedan yang masih belum didedahkan. Zhong turut menyatakan Lepas mensasarkan untuk mencapai jualan global 500,000 unit setahun dalam masa tiga tahun dari sekarang.
Adakah Lepas turut akan di bawa ke pasaran Malaysia? Kami dijemput dari Malaysia ke Wuhu untuk menyaksikan pelancaran peringkat global jenama Lepas ini, membayangkan bahawa ia bakal tiba ke pasaran tempatan. Namun buat masa sekarang Chery Malaysia belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berkenaan perkara ini.
GALERI: Lepas L8
GALERI: Lepas L6
GALERI: Lepas L4
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.