Semasa majlis pemulaan pemasangan tempatan (CKD) Audi Q7 di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang semalam, pengarah urusan Volkswagen Group Malaysia Dr Susanne Lehmann mendedahkan bahawa syarikat mempunyai perancangan untuk pemasangan model hibrid dan elektrik (EV) di sini, serta mengeksportnya ke negara lain dalam ASEAN.
“Kami sedang bekerja keras dengan sekutu dalam agensi kerajaan dan rakan kerja di ibu pejabat, dan telah bersama-sama menyiapkan portfolio produk yang termasuk eksport dan pengeluaran EV untuk tahun depan dan seterusnya. Ini (Audi Q7) adalah langkah pertama dengan MHEV (hibrid ringkas) untuk membawa lebih banyak PHEV dan kemudiannya EV pada tahun berikutnya,” kata beliau.
Susanne tidak memberitahu secara spesifik model apa yang dimaksudkan dan negara mana yang akan menerima model ini, tetapi dalam slaid pembentangan ternampak EV ID.4 yang pernah dipertontonkan di Malaysia serta bendera Indonesia, Thailand dan Vietnam.
“Kita bukan sahaja mensasarkan jumlah; kami mahu panjangkan dan kembangkan portfolio kami secara strategik, dan mencadangkan semua orang untuk beralih ke elektrik selangkah demi selangkah. Kita perlu latih orang ramai untuk teknologi baru demi bersiap sedia ke arah elektrifikasi,” tambah Susanne.
Model ID sekarang sudah ada banyak, seperti 3, 4, 5, 7, 6 (hanya di China), Buzz dan GTX, sementara pada masa akan datang pula akan diperkenalkan pula model 1, 2 dan 8. Antara semua ini anda rasa mana yang akan dipilih untuk Malaysia?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.