Dalam lawatan ke Auto Shanghai 2025 minggu lalu, Jetour turut mengambil kesempatan menunjukkan beberapa barisan modelnya di Hilton Shanghai yang menjadi hotel penginapan media global yang diundangnya. Selain SUV off-road T1 dan T2, Jetour turut mempamerkan SUV elektriknya eVT5 (nama yang diberikan untuk Malaysia, berbeza dengan nama bagi pasaran global disebabkan hakcipta, jadi nama asalnya seperti mana yang tertera di plat lesennya menerusi foto ini tidak terpakai di negara kita).
Apa yang menariknya, eVT5 yang dipamerkan ini adalah versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan dijangkakan SUV elektrik ini juga dalam senarai model Jetour yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Setakat ini, SUV VT9 yang turut dipamerkan di lokasi sama dan juga T2 sudah sah akan dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi.
Menurut Jetour, untuk pasaran globalnya, setakat ini hanya tiga negara yang memerlukan versi RHD iaitu Malaysia, Indonesia dan Afrika Selatan. Untuk pasaran Malaysia, sebelum ini Jetour sudah mengumumkan bahawa semua modelnya akan dipasang secara tempatan (CKD) seperti mana SUV Dashing yang telah dilancarkan di sini pada 9 April lalu.
Untuk pasaran global, selain versi elektrik, ia juga ditawarkan dengan unit enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan pilihan enjin 1.5 liter berkuasa 116 hp dan 1.5 liter turbo bersama hamburan kuasa 156 hp dan tork 230 Nm. Kedua-dua pilihan enjin ICE itu dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.
SUV crossover segmen-B versi ICE yang diperkenalkan pada tahun 2024 di China ini mempunyai dimensi bersaiz 4,397 mm panjang, 1,841 mm lebar, 1,654 mm tinggi dengan jarak roda 2,601 mm. Berbeza dengan versi EV, ia berukuran 4,100 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,653 mm tinggi, lebih kurang sama dengan saiz BYD Dolphin.
Bagi versi elektrik tulen, ia dilengkapi dengan elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 164 hp dan tork 280 Nm, dan dijana oleh bateri lithium-ion berkapasiti 53.6kWh. Buat masa ini, tiada perincian mengenai mekanikalnya namun didakwa bateri tersebut mampu memberikannya jarak gerak hingga 410 km.
Melihat di hadapan mata, eVT5 yang dipamerkan ini menampilkan lampu hadapan dan lampu belakang dari unit LED sepenuhnya, roda dua-tona bersaiz 17-inci, bumbung suria saiz standard, tempat duduk balutan kulit larasan elektronik, skrin paparan 10.25-inci, panel pengecasan tanpa wayar, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang dan kamera panorama 360-darjah.
Buat masa ini, Jetour belum bersedia mendedahkan perincian penuh bagi setiap versi SUV ini sama ada bagi unit ICE mahupun elektrik tulen. Kena nantikan Jetour bersedia mendedahkan sepenuhnya spesifikasi penuh bagi model SUV crossover ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.