Pertama kali muncul di Auto China Beijing 2024 sebagai rekaan konsep Arata, Mazda EZ-60 kini hadir dalam bentuk yang mula diproduksi sejak awal bulan ini, dan telah membuat penampilan di Auto Shanghai 2025.
Mempunyai ukuran 4,850 mm panjang, 1,935 mm lebar dan 1,620 mm tinggi dengan jarak roda 2,902 mm, EZ-60 (atau untuk pasaran eksport akan dikenali sebagai CX-6e) adalah sama kategori saiz seperti Deepal S07, Tesla Model Y dan Xpeng G6. Akan ada versi elektrik dengan jarak perjalanan 600 km (CLTC), dan juga versi plug-in hybrid (PHEV) dengan lebih 1,000 km jarak (CLTC).
Model ini antara lain menampilkan rim aloi 21-inci dengan tayar 255/40, cermin sisi kamera, pacuan roda belakang, agihan berat 50:50 (untuk PHEV; EV dengan 47:53), suspensi MacPherson strut di depan dan multi-link di belakang, serta penyerap hentak kawalan elektronik.
Di dalam, sebuah skrin paparan gergasi bersaiz 26.45-inci 5k bersepadu tersedia. Menurut Mazda, ada juga head-up display 3D, ciri pengecaman suara dan pergerakan pintar, parkir pintar kawalan suara dari luar serta 23-pembesar suara termasuk di bahagian perehat kepala.
EZ-60 sebelum ini dilaporkan akan mempunyai kerusi rebahan rata dengan satu sentuhan di depan, but berkapasiti 350 liter (dengan kerusi dilipat, 2,036 liter), frunk 126 liter, sembilan beg udara dan ADAS Tahap 2 yang disokong oleh lima kamera, lima radar milimeter-gelombang dan 12 sensor ultrasonic.
Model ini dijangka dilancarkan di China pada Ogos nanti, dengan pengumuman spesifikasi yang lebih lengkap. Akan tiba ke Malaysia juga?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.