Antara model yang turut membuat penampilan sulung di Auto Shanghai 2025 ialah Zeekr 009 Collector’s Edition, yang merupakan versi lebih mewah bagi MPV bateri-elektrik yang turut ada dijual di Malaysia ini.
Menggunakan model asas Zeekr 009 Grand dan menampilkan empat-tempat duduk (penumpang belakang boleh menikmati ruang luas yang tersedia), paling membezakan versi 009 Grand Collector’s Edition ini adalah penggunaan kemasan dan perincian saduran emas 24-karat — di bahagian seperti lencana jenamanya, dengan keseluruhannya melibatkan penggunaan tiga gram emas. Ini kemudiannya diserikan dengan kemasan yang dicat watna sama — bahagian garis bahu, bampar depan dan belakang, skirting sisi, tiang C dan kemasan rim.
Bahagian dalam juga menerima kemasan warna emas yang sama menggantikan bahagian krom yang ada pada 009 Grand: tali keledar, monogram Zeekr di kedua-dua sisi TV 43-inci yang ada, serta karpet pula diperbuat daripada bahan wool dari alpaka Andean.
Turut tersedia ialah tablet lapan-inci di belakang, meja boleh lipat kemasan kulit, suis kristal, peti sejuk 18-liter, cermin pandang belakang dan sisi elektrokromic, 31-pembesar suara, sistem audio Yamaha 3,000 watt dan mod privasi dengan sekali sentuh untuk gelapkan kaca belakang dan menaikkan pembahagi antara ruang penumpang depan dan belakang.
Dari segi janaan kuasa, 009 Grand Collector’s Edition menggunakan sistem yang sama dengan 009 Grand: pacuan semua roda dengan dua motor dengan janaan 789 PS dan 810 Nm, memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan mencapai laju maksimum 230 km/j.
MPV mewah ini menggunakan bateri 108 kWh yang menyediakan jarak 702 km (CLTC, atau sekitar 500 km WLTP). Model dengan bateri 116 kWh bagi 009 Grand di Malaysia memberikan 582 km WLTP.
Untuk pengecasan, 009 Grand menyokong pengecasan 5C (untuk pelbagai kapasiti bateri). Ini bermakna, kapasiti pengecasan pantas DC-nya melebihi 500 kW. Di China, Zeekr 009 Grand Collector’s Edition ini dijual dengan harga 899,000 yuan (RM539,459).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.