Jenama motosikal dari China, Hanway membuat kemunculan pertama di Malaysia dengan pelancaran sebuah model bobber yang dipanggil sebagai Heritage 400. Ia dijual pada harga RM22,800 tidak termasuk insurans dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Menggerakkan motosikal ini adalah enjin dua silinder 401 cc suntikan bahan api, DOHC, dengan sistem penyejukan cecair, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 42 hp pada 9,500 rpm dan tork 34 Nm pada 8,000 rpm.
Dalam keadaan asal, Heritage 400 ini datang tetapan satu tempat duduk, tetapi pembeli juga akan diberikan satu lagi tempat duduk belakang yang boleh dipasang dengan mudah. Tangki bahan apinya berkapasiti 12 liter.
Rim Heritage 400 mempunyai saiz sama di bahagian hadapan dan belakang, iaitu 16 inci, dibalut masing-masing tayar 130/90 dan 150/80. Ia kemudiannya dipegang fork teleskopik di bahagian hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang.
Pada bahagian brek, Heritage 400 dilengkapi dengan unit cakera berkembar di hadapan, sementara di belakang menggunakan cakera tunggal – ABS dual-channel diberikan secara standard. Meter menggunakan unit gabungan analog untuk tahap rpm dan LCD digital untuk informasi tambahan, sementara berat keseluruhan motosikal pula adalah 198 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.