Isuzu Malaysia telah mengumumkan pelantikan Tomoyuki Yamaguchi sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu syarikat berkenaan berkuatkuasa sejak 24 April 2025. Yamaguchi menggantikan CEO sebelum ini, Shunsuke Okazoe, yang kembali ke Jepun selepas dilantik sebagai timbalan presiden bagi jabatan jualan di Isuzu Motors Limited.
Yamaguchi menyertai Isuzu Motors pada tahun 1997, memulakan tugas di jabatan operasi antarabangsa untuk pasaran termasuk Rusia dan Ukraine, serta pelbagai pasaran Asia Barat Daya sebelum ditugaskan ke Isuzu Motors Afrika Selatan untuk mengembangkan perniagaan kenderaan komersial jenama itu di pasaran negara tersebut.
“Isuzu Malaysia kekal sebagai model kecemerlangan dalam perspektif global. Operasi di sini telah mewujudkan pangkalan pelanggan setia yang mengiktiraf kekuatan dan keupayaan kenderaan Isuzu. Ini petanda baik untuk penubuhan pelanggan sepanjang hayat jenama Isuzu.
“Kami perlu terus berusaha untuk menjadikan setiap pelanggan mendapat pengalaman yang positif. Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan dan pengedar kami untuk membawa kepuasan pelanggan ke peringkat seterusnya,” kata Yamaguchi.
Beliau turut menyasar untuk meluaskan skop perkhidmatan dalaman yang disediakan oleh pengedar Isuzu untuk memastikan perkhidmatan berkualiti bagi pelanggan jenama itu, serta mempercepatkan ketersediaan alat ganti melalui proses pergudangan yang dipertingkatkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.