Selain Cooper Convertible, MINI Malaysia juga memperkenalkan tiga model John Cooper Works (JCW) baru untuk pasaran Malaysia iaitu 3 Door petrol dan elektrik, serta Aceman. Harganya masing-masing adalah RM330,988, RM225,188 dan RM241,188.
Semua harga di atas adalah tidak termasuk insurans, dan diberikan sekali dengan pakej jaminan kenderaan empat tahun tanpa had batuan serta servis percuma empat tahun atau 60,000 km untuk model petrol dan empat tahun tanpa had batuan untuk model elektrik. Jika tidak mahu pakej ini, harga kenderaan akan dikurangkan masing-masing RM12,100, RM6,300 dan RM7,300. Jaminan bateri untuk dua model JCW ini adalah lapan tahun atau 160,000 km.
Tidak kiralah ICE atau EV, hatchback atau SUV, semua model JCW ini nampak garang dengan kebanyakan bahagian badannya berwarna gelap dan kemudiannya warna merah memberikan kontras dengan digunakan pada bahagian bumbung, cermin sisi, atas bonet serta angkup brek.
Model 3 Door petrol JCW menjadi satu-satunya model yang mendapat suspensi adaptif, spoiler bumbung berbentuk M, muncung ekzos di tengah serta antena berbatang tegak (dua model lagi menggunakan unit seperti sirip). Kemudiannya, dua model hatch JCW ini diberikan rim 18 inci Lap Spoke, manakala model Aceman JCW dibesarkan menjadi 19 inci (rekaan masih sama).
Menggerakkan model petrol hatch adalah enjin empat silinder 2.0 liter turbo serta transmisi DCT tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 231 PS/380 Nm, melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Model EV pula menggunakan bateri 54.2 kWh untuk menggerakkan motor elektrik 258 PS/350 Nm, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 200 km/j dan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat (3 Door) dan 6.4 saat (Aceman). Semua model ini menggunakan pacuan roda hadapan.
Apabila menggunakan pengecas DC 95 kW, tahap bateri dua model EV JCW ini boleh naik 10-80% dalam masa 30 minit (AC 11 kW mengambil masa 5 jam 15 minit untuk 0-100%), dan apabila baterinya penuh, boleh memberikan jarak gerak 371 km untuk hatch dan 355 km untuk SUV.
Konsep warna hitam dan merah digunakan secara menyeluruh di bahagian dalam, dengan tempat duduk sport khas JCW dibalut kulit sintetik hitam dengan gabungan fabrik pada bahagian bahu dan jahitan merah menaikkan serinya. Pada model EV, tempat duduknya didatangkan dengan fungsi mengurut, pelarasan elektrik dan memori, sementara di bahagian bumbung, selain dilengkapi kaca panoramik, juga mempunyai lampu suasana.
Roda stereng juga adalah unit khas JCW, dengan jahitan merah, pedal penukar serta cabang tengah di bahagian bawah yang diperbuat daripada fabrik, manakala skrin MINI Interaction Unit di bahagian tengah mempunyai mod khas JCW yang boleh menunjukkan data prestasi seperti laju, tork, penghasilan semula kuasa dalam kW dan tarikan G.
Konsol tengah khas JCW menggunakan gabungan fabrik warna hitam, tali pendakap warna merah serta kemasan warna perak. Turut diberikan secara standard adalah MINI Navigation AR, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi Harman Kardon.
Bagi aspek keselamatan, semua model JCW ini dilengkapi AEB, ACC dengan stop and go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning dengan Active Lane Return, Lane Departure Warning dengan Active Steering Intervention, Evasion Assistant, Rear-Cross Traffic Warning dengan fungsi membrek, Rear-end Collision Prevention dan amaran keluar.
Turut disediakan adalah bantuan parkir tepi dan menegak, kamera undur dengan pandangan panoramik, bantuan mengundur sehingga 50 meter, pemerhati parkir, pandangan 3D, perakam video pemanduan serta perakam video anti kecurian.
GALERI: MINI JCW 3 Door petrol
GALERI: MINI JCW 3 Door elektrik
GALERI: MINI JCW Aceman
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.