Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan ketibaan model Toyota GR Yaris 2025 di Malaysia, bersekali dengan ketibaan kereta sport dua-tempat duduk GR Supra Track Edition.

Dijual dengan harga RM325,600, GR Yaris dengan Gazoo Racing Direct Automatic Transmission (DAT) lapan-kelajuan ini dijual bersekali dengan versi manual enam-kelajuan yang ditawarkan dengan harga RM315,000 — model automatik berkenaan RM10,000 lebih mahal berbanding versi manual.

Dilengkapi dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder sebaris turbocas petrol, ia menjana kuasa yang sama bagi kedua-dua versi dengan 300 PS dan 400 Nm. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan semua roda GR-Four yang hadir bersama beberapa mod pemanduan, termasuk Gravel (nisbah agihan tork depan dan belakang 53:47) dan Track (pembolehubah berterusan antara 60:40 dan 30:70).

GR Yaris 8AT tersebut mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, dengan laju maksimum 230 km/j. Berat kering antara model automatik dan manual melibatkan perbezaan 20 kg (versi 8AT lebih berat berbanding 6MT). Selebihnya semua sama antara keduanya.

Perisian bagi GR Yaris automatik telah dioptimumkan untuk “pemanduan mengujakan”, jelas Toyota. Perisian transmisi akan meninjau input pemandu ke atas pendikit dan brek, dan akan menjangkakan titik penukaran gear optimal seperti yang dilakukan oleh pemandu profesional. Khusus untuk versi 8AT adalah cecair penyejuk transmisi automatik.

Sebagai model facelift, pembaharuan yang dilakukan antara keduanya juga sama. Kini ada tiga bolt yang mengikat setiap penyerap hentak ke badan kereta (sebelum ini hanya satu bolt) bagi mengurangkan jajaran tersasar ketika membelok. Titik kimpalan juga ditambah sebanyak 13% dan penggunaan pelekat struktural juga ditingkatkan sebanyak 24% untuk memperkukuhkan badan kenderaan, dan menyumbang kepada kendalian dan keselesaan yang lebih baik.

Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

Dari segi penampilan, model facelift GR Yaris ini diberikan rekaan bagi bagi bampar depannya. Di belakang, kamera undur dan lampu kabus telah disekalikan ke dalam kawasan lampu belakang, dialih dari bahagian bawah bampar untuk mengurangkan kerosakan. Lampu brek ketiga juga dialih dari spoiler belakang ke bahagian lebih rendah agark lebih mudah dilihat, serta spoiler dengan rekaan baru.

Bahagian kabin antara kedua-dua bersi juga sama. Kerusi pemandu kini direndahkan sebanyak 25 mm, begitu juga dengan kedudukan stereng. Orientasi penukaran gear manual juga diubah (tarik untuk naikkan kedudukan gear), dan ada juga paddle shift di stereng.

Untuk memberi tumpuan kepada pemandu, bucu atas panel instrumen 50 mm lebih rendah, cermin pandang belakang yang dialih ke kedudukan baru serta panel kawalan disudutkan 15 darjah ke arah pemandu. Ciri bantuan pemandu pula lengkap dengan Toyota Safety Sense (TSS3), yang antaranya terdiri daripada Pre-Collision Brake Assist untuk motosikal dan Pre-Collision Brake untuk kenderaan dari arah depan.

Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

Kawalan melayar radar dinamik (DRCC) kini dihubungkan ke lampu isyarat, dan berfungsi bersama dengan Deceleration Assist untuk menyokong daripada memotong dalam sitausi berbahaya, sementara pengurangan kelajuan di selekoh akan berfungsi ketika DRCC aktif.

Akhir sekali, GR Yaris 2025 automatik datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan. Dijual dengan harga RM325,600, model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna — Platinum White Mica, Emotional Red II, Precious Metal dan Precious Black.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required