Selepas pengenalan globalnya bulan lalu, Xpeng G6 facelift muncul pula di Auto Shanghai 2025. Pasaran China menerima tiga varian dengan harga masing-masing RMB176,800 (RM105k), RMB186,800 (RM111k) dan RMB198,800 (RM118k) — dua yang pertama itu dengan jarak CLTC sejauh 625 km, manakala yang terakhir 725 km.
Varian dengan jarak 625 km menggunakan bateri berkapasiti 68.5 kWh, sementara varian 725 km dengan bateri 80.8 kWh. Ketiga-tiga varian mempunyai motor tunggal yang menjana 296 PS/450 Nm yang menggerakkan roda belakang, dan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat. Sebagai perbezaan, kapasiti bateri model sebelum ini memberikan jarak CLTC 580 km (66 kWh) dan 755 km (87.5 kWh).
Pembaharuan paling utama ialah EV dengan senibina 800V ini mempunyai gandaan pengecasan yang dipertingkat daripada 3C kepada 5C — secara teorinya, satu cas penuh hanya memerlukan masa 12 minit. Xpeng menyatakan, 10%-80% SoC akan memerlukan masa 12 minit tersebut.
Tidak dinyatakan sama ada Xpeng G6 facelift ini akan ada versi dual-motor atau sebaliknya. model sebelum ini ada versi AWD berkenaan (yang belum dipasarkan di Malaysia), dengan membekalkan 358 kW (487 PS), 660 Nm tork dan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat.
Antara pembaharuan yang dibuat untuk model facelift ini ialah logo Xpeng di depan dinaikkan kedudukannya, tambahan spoiler aloi serta kemasan warna hitam seperti untuk bodykit dan angkup brek.
Ukuran dimensi SUV ini masih sama: 1,920 mm lebar, 1,650 mm tinggi dan jarak roda 2,890 mm. Hanya panjangnya ada pertambahan 5 mm menjadi 4,758 mm. Di dalam, skrin sentuh kini bersaiz 15.6-inci (14.9-inci sebelumnya). Panel instrumen digital 10.25-inci masih sama. Sterengnya kini dilengkapi ciri kawalan sentuhan kapasitif, corong udara diberi bentuk baru serta kerusi depan ada fungsi urut.
Penyandar kerusi belakang juga mempunyai 12 larasan daripada 27-38.4 darjah, manakala lampu ambient kini ada ritma dan pantulan. Material untuk pelapik bumbung juga kini menggunakan suede, panel pintu kulit, papan pemuka dengan kemasan kayu serta permukaan lembut di kawasan pengecas tanpa wayar.
Seperti X9 facelift, G6 facelift ini juga dilengkapi sistem pemanduan pintar yang dikuasakan oleh cip Turing AI oleh Xpeng sendiri. Perantinya terdiri daripada cip Nvidia Drive Orin dengan kemampuan perkomputeran keseluruhan 508 TOPS.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.