Satu lagi model siri R daripada BMW Motorrad diperkenalkan hari ini, iaitu R1300 RT, yang merupakan sebuah sports tourer menggantikan R1250 RT sebelum ini, dengan membawa peningkatan dibahagian enjin, casis serta aerodinamik.
Memacu R1300 RT ini adalah enjin boxer 1,300 cc, yang menerima silinder lebih besar serta crankshaft baru, membawa kepada kuasa maksimum 45 hp pada 7,750 rpm dan tork 149 Nm pada 6,500 rpm – naik sembilan hp dan enam Nm berbanding R1250 RT.
Transmisi enam kelajuan yang digunakan untuk menyampaikan kuasa kepada roda belakang melalui sistem syaf pada motosikal ini datang dengan Automated Shift Assistant (ASA), yang memberikan pilihan kepada penunggang untuk memilih mod tukaran gear automatik atau manual.
Kerangka baru yang lebih tegap pada R1300 RT ini disambungkan kepada suspensi yang terdiri daripada unit EVO Telelever di hadapan dan EVO Paralever di belakang – juga ditala semula untuk memberikan kawalan yang lebih tepat, stabil dan tegap.
Satu lagi ciri baru pada R1300 RT adalah Dynamic Chassis Adaption (DCA), yang berkerjasama dengan suspensi elektronik ESA untuk menyediakan dua pilihan kedudukan menunggang dalam pelarasan mod menunggang. Kedudukan pertama memberikan sudut steering head yang lebih rata, untuk lebih stabiliti dan kelancaran, sementara kedudukan kedua memberikan serapan lebih keras serta kadar spring dan kedudukan yang lebih tinggi.
Dalam keadaan standard, tinggi tempat duduk R1300 RT adalah 780 mm, dengan bukaan tepi dijadikan lebih ramping, namun disediakan dengan beberapa lagi pilihan tempat duduk berbeza tebal dalam katalog. Beg barangan tepi berkapasiti 27 liter setiap satu diberikan secara terus, sementara saiz yang lebih besar dan kotak belakang dijual secara berasingan.
Tiga mod tunggangan disediakan secara standard pada R1300 RT ini iaitu Road, Rain dan Eco, sementara dua lagi mod boleh laras dalam Riding Modes Pro disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut diberikan secara standard adalah engine drag torque control (MSR).
Panel meter menggunakan unit TFT 10.25 inci, yang datang dengan peta navigasi bersepadu, manakala sistem hiburan Audio System dan Audio Pro disediakan sebagai pilihan tambahan. Rim 17 inci baru pada motosikal ini adalah 1.4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 24 liter. Berat keseluruhannya adalah 281 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.