Chery mahu hasilkan lebih banyak kereta kecil untuk pasaran global dengan harga lebih mampu milik

Chery mahu hasilkan lebih banyak kereta kecil untuk pasaran global dengan harga lebih mampu milik

Perasan tak dalam barisan model Chery, jenama automotif dari China itu sangat kurang model-model kecil yang boleh dijual pada harga lebih mampu milik. Perkara ini diakui sendiri oleh Chery bahawa ia kini agak ketinggalan dalam segmen kenderaan dengan bahagian pasaran global yang mencecah sehingga 40% itu.

“Skala global untuk kereta kecil adalah sangat besar, tapi Chery kekurangan kereta kecil pada hari ini,” kata presiden Chery International Zhang Guibing dalam ucapannya ketika berlangsung Sidang Kemuncak Perniagaan Chery International 2025 di Bandar Wuhu, China hujung minggu lalu.

Oleh itu, Zhang mengumumkan bahawa Chery dan setiap sub-jenamanya pada pasaran eksport termasuk Chery, Omoda, Jaecoo, dan Lepas akan memperkenalkan bukan satu, tapi masing-masing akan menawarkan tiga model kecil (kecuali Jaecoo) ke dalam pasaran kelak. Model-model tersebut adalah Chery T3, T2 dan T1, Omoda C3, C2 dan C1, Jaecoo J3 serta Lepas L3, L2, dan L1.

Chery mahu hasilkan lebih banyak kereta kecil untuk pasaran global dengan harga lebih mampu milik

Sama seperti barisan model-model yang lebih besar yang lain, semua model kecil yang bakal dibina ini akan menggunakan platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama, tetapi dibezakan dengan identiti penggayaan jenama masing-masing bagi memastikan kos pembangunannya kekal rendah, serta dapat menawarkan harga yang kompetitif dalam pasaran kelak.

Menurut Zhang lagi, platform dan unit rangkaian kuasa yang akan digunakan tersebut dibangunkan khas untuk model-model sedemikian, dan bakal menampilkan pengendalian yang dinamik, seronok untuk dipandu dalam masa yang sama masih menampilkan harga yang kompetitif.

Dalam pembentangan itu juga Zhang turut memperincikan saiz setiap model berkenaan, di mana model dengan angka ‘3’ menampilkan panjang keseluruhan 4,200 mm, panjang model dengan angka ‘2’ adalah 4,000 mm, dan juga model dengan angka ‘1’ tampil dengan panjang hanya 3,800 mm. Sebagai rujukan, model produksi paling kecil untuk Chery Tiggo sekarang iaitu Tiggo 4/Tiggo Cross (yang bakal masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi) menampilkan panjang keseluruhan 4,320 mm.

Chery mahu hasilkan lebih banyak kereta kecil untuk pasaran global dengan harga lebih mampu milik

Antara model-model yang disebutkan tersebut, Omoda 3 adalah model yang telah didedahkan sehari sebelum Zhang mengumumkan strategi ini. Ia adalah sebuah SUV kompak yang lebih kecil dari Omoda 5 yang telahpun berada di Malaysia, menampilkan rupa yang sangat agresif seakan mengambil inspirasi rekaan dari Lamborghini Urus. Omoda 3 ini diumumkan bakal dilancarkan di beberapa pasaran luar China bermula Oktober tahun ini.

Buat masa sekarang untuk pasaran Malaysia, model-model dari Chery, Omoda dan Jaecoo dilihat begitu kompetitif dalam pasaran kerana mampu menawarkan harga yang boleh menggugat jenama nasional khususnya Proton. Dengan strategi baharu ini, nampaknya Chery bakal tampil dengan model yang boleh bersaing dengan model tempatan seperti Axia, Myvi dan Ativa. Mungkin Perodua bakal bertemu dengan pesaing yang boleh mengambil sedikit bahagian pasarannya yang begitu besar di Malaysia selepas ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required