Honda e:N1 bakal dilancar – HR-V EV hanya boleh didapati menerusi 8 pengedar terpilih seluruh Malaysia

Honda e:N1 bakal dilancar – HR-V EV hanya boleh didapati menerusi 8 pengedar terpilih seluruh Malaysia

Honda e:N1 dijangka akan dilancarkan di Malaysia sebelum hujung suku kedua (Q2) tahun ini, dan menjelang ketibaannya di pasaran tempatan, tempahannya mula dibuka bulan ini. Walau bagaimana pun, difahamkan SUV elektrik-penuh ini tidak akan ditawarkan di kesemua wakil pengedaran Honda di Malaysia, sebaliknya hanya memilih lapan wakil pengedar untuk menjualnya. Perkara ini didedahkan sendiri oleh Honda Malaysia (HM) menerusi paparan grafik yang dikongsikan di Facebook rasminya.

Wakil pengedar terpilih untuk memasarkan e:N1 ialah Vivahill Auto di Pulau Pinang dan Ban Hoe Seng Auto di Perak yang mewakili bahagian utara. Manakala untuk bahagian sentral pula, HM memilih Accord Auto, HZN Cars dan Tiong Nam Motor di Selangor dan Peringgit Sri Motor di Kuala Lumpur. Sementara Ban Lee Heng Motor di Negeri Sembilan dan Kah Motor Co di Tebrau, Johor mewakili bahagian selatan tanahair.

SUV EV segmen-B ini diperkenalkan di peringkat serantau di Thailand pada tahun lalu, dan kemudiannya ditawarkan melalui program pajakan. Kemudian, barulah ia dijual di negara berkenaan bermula bulan lalu.

Honda e:N1 bakal dilancar – HR-V EV hanya boleh didapati menerusi 8 pengedar terpilih seluruh Malaysia

Walau pun merupakan versi EV untuk HR-V, namun menurut Honda, e:N1 ini diasaskan dari platformnya tersendiri dikenali sebagai e:N Architecture F bagi menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa terdiri dari motor elektrik, unit pemacu kuasa dan transmisi pada gandar hadapan yang memacu roda hadapan.

Motor berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 310 Nm dari 0-4,621 rpm. Ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksima hingga 160 km/j.

Honda Malaysia turut mengesahkan bahawa kuasa elektrik akan dibekalkan dari bateri litium-ion (nickel manganese cobalt atau NMC) 68.8 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 500 km dalam kitaran ujian NEDC. Spesifikasi model pasaran Thailand menyebut bateri tersebut membolehkan e:N1 ini bergerak sejauh 412 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran ujian WLTP.

Bateri ini boleh dicas menggunakan pengecas DC CCS2 berkapasiti sehingga 78 kW, yang mengambil masa sekitar 45 minit untuk membolehkannya mencapai status pengecasan 10% hingga 80%. Jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW pula, ia mengambil masa lebih kurang enam jam untuk baterinya dicas penuh.

Honda e:N1 bakal dilancar – HR-V EV hanya boleh didapati menerusi 8 pengedar terpilih seluruh Malaysia

Walau bagaimana pun, spesifikasi penuh untuk versi Malaysia masih belum diumumkan, namun dijangka tidak jauh berbeza dengan unit yang dijual di Thailand, yang dilengkapi roda aloi dua-tona pelbagai-jejari 18-inci, lampu utama LED automatik denggan lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu kabus hadapan, lampu signal LED, jaluran lampu belakang LED dan juga spoiler belakang.

Untuk kelengkapan kabinnya pula, ia diberikan tempat duduk balutan kulit rekaan sport berwarna hitam dengan kemasan putih dan jahitan biru, Selain itu, ia juga diberikan panel skrin sesentuh Advanced Touch Display Audio 15.1-inci dengan sokongan tanpa wayar Apple CarPlay/Android Auto, dan paparan pelbagai-informasi TFT 10.25-inci, berserta tombol penukar gear yang ringkas dan suis brek parkir elektronik.

Kelengkapan standard juga termasuk set bantuan pemandu Honda Sensing, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang yang menggantikan kamera LaneWatch, di mana dua ciri tersebut merupakan pertama kali diaplikasikan oleh Honda di Malaysia.

Harganya juga masih belum didedahkan, namun ia berharga sekitar 1,199,000 baht (RM157,600) di Thailand, jadi untuk pasaran kita, kebarangkalian harganya juga tidak jauh beza. Kita akan mengetahui lebih terperinci mengenai model EV ini bila ia dilancarkan kelak, namun bagi yang berminat dengan e:N1, bolehlah membuat tempahan di laman web rasmi HM atau aplikasi HondaTouch ataupun terus menempahnya di lapan wakil pengedar terpilih berkenaan.

GALERI: Honda e:N1 di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required