Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sindiket yang membotolkan minyak enjin kenderaan palsu yang menyerupai jenama popular telah diserbu di tiga premis perniagaan berasingan di Ara Damansara dan Kepong, Kuala Lumpur, semalam.
Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata serbuan menerusi operasi khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang bermula 11.30 pagi itu berjaya menahan 13 individu serta merampas minyak enjin bernilai jutaan ringgit, laporan Bernama.
Katanya, minyak enjin tiruan berkenaan diiklankan di platform e-dagang dan bengkel bagi mengaut keuntungan berganda. Pihaknya bersama KPDN telah menjalankan risikan selama dua bulan sebelum menyerbu premis terbabit. Serbuan diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Siasatan Khas) WCB/PSK KDNKA Bukit Aman Asisten Komisioner Zulkarnain Samsudin dan Pegawai Penguatkuasa KPDN Putrajaya, Ahlami Idris Abdul Rashid.
“Dalam serbuan di dua premis di Ara Damansara, pasukan menahan empat individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Sri Lanka. Manakala serbuan di Kepong pula menahan seramai sembilan individu membabitkan tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan empat lelaki warga Bangladesh,” katanya.
Mohammad Azlin turut berkata, pemeriksaan mendapati tiga premis berkenaan menjalankan aktiviti membotolkan minyak enjin menggunakan label hampir menyerupai jenama terkenal bagi memperdaya pengguna khususnya bengkel kenderaan. Dalam serbuan terbabit, pihaknya merampas minyak enjin, botol kosong, tong berisi cecair dan label jenama palsu dengan anggaran nilai jutaan ringgit.
“Minyak enjin berkenaan dijual lebih murah daripada harga pasaran antaranya melalui platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram selain diedarkan terus ke bengkel. Siasatan mendapati sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak dua hingga tiga tahun lalu dan menggunakan taktik menyamar sebagai pengeluar sah walaupun tidak mempunyai pengiktirafan rasmi,” katanya.
Mohammad Azlin berkata, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana bekalan minyak enjin diperoleh termasuk kemungkinan ia adalah minyak enjin yang diguna semula. Tambah beliau, pihak KPDN akan menjalankan analisis terhadap sampel minyak enjin berkenaan di Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungannya.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan perihal palsu pada produk serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah. Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan saki-baki sindiket dan tidak menolak kemungkinan wujud jaringan lebih besar membabitkan premis lain yang masih aktif.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.