Dipertontonkan di Malaysia pada bulan lalu, GWM Tank 500 HEV dijadualkan akan dilancarkan pada 8 Mei ini dalam acara Malaysia Autoshow 2025. Model 4×4 hibrid besar ini pertama kali ditunjuk di khalayak umum di sini ketika penganjuran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) pada Disember lalu.
Dipasang di kilang pengeluar berkenaan di Rayong, Thailand, Tang 500 dijangka akan ditawar pada harga bawah RM350,000. Ini akan menjadikannya salah satu kenderaan paling mahal daripada pembuat kereta China, menyaingi Zeekr 009 yang juga ditawarkan di sini dengan harga yang tinggi.
Abang kepada GWM Tank 300 ini ditampilkan dengan pilihan enjin termasuk 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa 244 PS dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 380 Nm dari 1,700 hingga 4,000 rpm, serta motor elektrik 106 PS/268 Nm dan transmisi automatik sembilan-kelajuan. Keseluruhan kuasa yang terhasil mencecah 346 PS adan 648 Nm, yang dipacu menerusi kesemua rodanya menerusi sistem pacuan empat-roda.
Ia juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi off-road, termasuk electronic locking differential hadapan dan belakang, mechanical centre locker, kawalan kelajuan off-road, fungsi pengesan kedalaman air dan fungsi “tank turn” untuk mengunci roda belakang ketika membuat pusingan-u yang sempit. Selain itu, ia juga diberikan 11 mod pemanduan (empat mod on-road, tujuh off-road) dan mampu meredah air maksimum hingga 800 mm.
Dengan dimensi berukuran 4,928 mm panjang, 1,934 mm lebar dan 1,905 mm tinggi, 500 adalah 160 mm lebih panjang, empat milimeter lebih lebar dan dua milimeter lebih tinggi berbanding 300, sementara jarak rodanya 2,850 mm iaitu 100 mm lebih panjang. Jika dibandingkan dengan Everest, GWM lebih panjang sebanyak 14 mm, 11 mm lebih lebar dan 64 mm lebih tinggi tetapi jarak rodanya lebih pendek sekitar 50 mm.
Tank 500 dijangka akan ditawarkan dengan varian tunggal di sini iaitu model spesifikasi penuh Ultra, dan diberikan termasuk kelengkapan lampu utama dan lampu belakang LED penuh, rel bumbung perak, roda aloi pelbagai-jejari 20-inci dengan dibaluti tayar Continental CrossContact RX 265/50R20 dan pemijak sesi yang boleh dilaras secara kuasa.
Untuk ruang kabinnya, ia diberikan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlar, sistem bunyi Infinity dengan 12-pembesar suara, upholstery kulit Nappa quilted dan tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu.
Selain itu, ia juga diberikan sistem kawalan suhu tiga-zon, tirai suria untuk barisan kedua dan juga perehat belakang larasan kuasa untuk barisan ketiga. Bagi barisan ketiga, terdapat juga butang untuk melipat dan membuka tempat duduk di bahagian itu secara elektrikal dengan hanya menekan satu butang sahaja.
Bagi aspek keselamatan dan kelengkapan bantuan pemandu, Tank 500 diberikan brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan Wisdom Dodge System untuk mengerakkan SUV ini ke tepi luar lorong bagi memberi ruang kepada kenderaan besar dan motosikal. Selain itu, enam beg udara, bantuan parkir, sistem kamera 360-darjah dengan fungsi transparency dan kawalan kestabilan juga diberikan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.