Hujung April lalu, syarikat pengeluaran German, Continental mengumumkan bakal menamatkan operasi pengeluaran tayarnya di Alor Setar pada penghujung tahun ini. Penutupan kemudahan itu, yang ketika ini mengeluarkan tayar bagi kenderaan penumpang, trak tugasan ringan dan motosikal untuk pasaran Asia-Pasific, akan memberi kesan kepada 950 pekerjaan.
Susulan daripada pengumuman itu, MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan yang keputusan Continental tersebut adalah satu langkah perniagaan dan tidak ada kena-mengena dengan politik, lapor New Strait Times.
“Itu merupakan keputusan perniagaan. Bukan kerana mereka benci Sanusi. Sejak bila syarikat tayar terlibat dengan politik?,” ujarnya terhadap hantaran di TikTok yang mengaitkannya dengan penutupan kilang itu.
“Syarikat tayar sedang berdepan dengan tempoh sukar berdepan cabaran dan persaingan harga dan teknologi oleh syarikat dari China dalam pasaran kenderaan penumpang. Sebab itu Continental mengalih tumpuannya kepada kereta prestasi dan kenderaan industri berat. Syarikat itu juga ada kilang di Thailand dan memutuskan untuk melakukan pengeluaran tayar di sana. Ia tiada kaitan dengan politik,” tambahnya.
Sanusi juga memaklumkan, walaupun berdepan penutupan itu, ada pelabur baru yang berminat untuk mendirikan kilang tayar di Kedah. Bagaimanapun, perinciannya belum boleh didedahkan atas permintaan pihak berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.